
Bagi masyarakat Malaysia, melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bukan sekadar soal minat atau cita-cita.
Ia juga melibatkan komitmen kewangan yang besar, terutama bagi keluarga yang kurang berkemampuan dan perlu menanggung pelbagai perbelanjaan harian pada masa yang sama.
Dalam situasi inilah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi antara penyelamat buat ramai pelajar yang ingin mengejar impian melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Pinjaman yang diterima bukan sahaja membantu membayar yuran pengajian, malah memberi ruang kepada pelajar untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran tanpa terlalu memikirkan soal kewangan.
Hari ini, selepas berjaya menamatkan pengajian dan membina kerjaya masing-masing, ramai graduan mula melihat bayaran balik PTPTN dari sudut yang berbeza.
Bukan sekadar melunaskan komitmen yang pernah diterima, tetapi juga sebagai satu usaha untuk memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati peluang pendidikan yang sama pada masa hadapan.
Pinjaman PTPTN bantu ringankan beban keluarga ketika menuntut ilmu

Bagi Fazlin, 31, yang kini bertugas sebagai setiausaha kerja di sektor awam, bantuan pinjaman PTPTN menjadi antara faktor yang membolehkannya menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi dan Media (Kewartawanan).
Menurutnya, dia berdepan kesukaran untuk menampung kos pengajian kerana belajar di kolej swasta yang mengenakan yuran antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap semester.
“Memang agak mencabar juga kerana saya belajar di kolej swasta. Bila dapat pinjaman PTPTN memang rasa lega kerana tidak lagi terlalu risau tentang yuran pengajian,” katanya.
Tambah Fazlin, bantuan tersebut membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa perlu memikirkan tunggakan yuran setiap semester.
“Tanpa PTPTN mungkin saya tidak dapat menghabiskan pengajian dan memperoleh ijazah. Waktu belajar, saya boleh fokus kepada pengajian tanpa perlu risau tentang tunggakan yuran semester,” ujarnya.

Pengalaman hampir sama turut dilalui oleh Mohammad Zahiruddin Ibrahim, 30, yang kini bertugas sebagai pensyarah.
Menurut graduan bidang Information System Engineering itu, pinjaman PTPTN banyak membantu meringankan beban keluarganya ketika dia dan adiknya melanjutkan pengajian pada waktu yang sama.
“Ketika saya dan adik sama-sama melanjutkan pelajaran di universiti, keluarga perlu menanggung pelbagai perbelanjaan. Selepas mendapat pinjaman PTPTN, saya berasa lebih lega kerana beban keluarga dapat diringankan dan keperluan harian kami dapat dipenuhi dengan lebih baik,” katanya.
Bagi Zahiruddin, peluang melanjutkan pengajian yang diperoleh melalui pinjaman PTPTN akhirnya membuka jalan kepada kehidupan yang lebih stabil dan selesa untuk dirinya serta keluarga.
“Pendidikan yang saya peroleh melalui bantuan PTPTN membuka peluang untuk saya belajar ke peringkat lebih tinggi dan memperoleh kehidupan yang lebih baik. Alhamdulillah, hari ini saya dapat membantu diri sendiri dan keluarga dengan lebih baik,” ujarnya.
Mula membayar balik selepas mendapat pekerjaan

Selepas menamatkan pengajian dan memperoleh pekerjaan, kedua-dua graduan ini mengambil langkah membuat bayaran balik pinjaman yang pernah membantu mereka.
“Saya rasa hutang itu perlu dilunaskan segera supaya tidak menjadi beban kepada diri sendiri. Dah pandai pinjam, kena lah pulangkan,” katanya.
Zahiruddin pula melihat bayaran balik PTPTN sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh setiap peminjam apabila mempunyai kemampuan.
“Saya mula membayar pinjaman PTPTN sebaik sahaja mendapat pekerjaan. Kewajipan membayar pinjaman perlu dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan. Peminjam perlu bertanggungjawab terhadap pinjaman yang telah diberikan,” katanya.
Hakikatnya, setiap bayaran balik PTPTN yang dibuat hari ini bukan sahaja membantu peminjam melunaskan komitmen mereka, malah memainkan peranan penting dalam memastikan dana pendidikan dapat terus disalurkan kepada pelajar yang memerlukan.
Dengan kata lain, setiap bayaran yang dibuat hari ini berpotensi membuka peluang kepada generasi pelajar seterusnya untuk melanjutkan pengajian, mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih cerah.








