Pelakon dan selebriti ular Malaysia, Dwan Hamid memohon agar tiada lagi salah faham terhadap dirinya yang didakwa sengaja mengambil kesempatan dan mempergunakan bekas wartawan hiburan popular Allahyarham Huzz semasa hayatnya.
Artikel Berkaitan: Wartawan Hiburan Huzz Meninggal Dunia, Hidap Kanser Usus Tahap Empat
Minta maaf
Menurut Dwan, dia ikhlas menjaga Huzz yang sedang sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum Allahyarham dibawa pulang ke kediaman keluarga di Pulau Pinang.
Meskipun dituduh sebegitu, Dwan, 32, tidak kecewa kerana niatnya menjaga Huzz selama beberapa hari kerana Allah.
Sejak saya mula berjinak-jinak menjadi pelakon tahun 2010, saya bukan siapa-siapa ketika itu, Huzz ialah wartawan pertama yang banyak memberi tunjuk ajar, nasihat dan buat cerita pasal saya dalam Majalah URTV.
Beliau wartawan terkenal tapi sangat merendah diri dan suka membantu orang lain juga untuk terus maju. Huzz memang suka tengok orang lain berjaya.
Di kala tiada siapa yang mahu memberi ruang publisiti kepada saya, hati Huzz sangat mulia mahu membantu anak-anak muda seperti saya yang berhijrah dari Taiping, Perak ke Kuala Lumpur demi mencuba nasib dalam bidang seni.
Jadi apabila dapat tahu Huzz sakit, saya mengambil masa beberapa hari untuk menjaga Huzz. Selain mahu lihat dia kembali sihat ketika itu, saya mengenangkan segala kebaikannya kepada saya. Jasanya tak dapat saya balas, hanya Allah yang mampu membalasnya.
Ikhlas daripada hati, saya memohon maaf kepada keluarga Huzz jika sepanjang saya menjaga arwah telah menyinggung perasaan kalian semua.
Saya tiada niat untuk membelakangkan peranan keluarga, jauh sekali menggantikan tempat mereka. Saya hanya menggunakan peluang ketika itu untuk menjaga insan yang banyak membantu dan sangat saya hormati.
Saya harap tiada lagi salah faham terhadap saya. Saya juga bercadang mahu bertemu sendiri dengan keluarga arwah untuk meminta maaf atas salah faham yang berlaku.
Sebelum ini, tindakan Dwan memuat naik gambarnya menjaga Huzz di HKL di media sosial telah mengundang komen daripada segelintir netizen yang mempersoalkan kelibat ahli keluarga.
Kebetulan saya datang ahli keluarga Huzz dah balik, jadi gambar tersebut mungkin menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.
Lagipun, tujuan gambar tersebut diletakkan di akaun TikTok adalah untuk ajak orang ramai doakan Huzz, di samping memberitahu rakan-rakan terdekat untuk ziarah Huzz.
Niat saya baik. Tak tahu pula ada yang salah faham.
Tiada niat nak perguna
Dalam masa yang sama, pemilik nama Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid juga menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya cuba ‘mempromosi’ diri ketika menjaga Huzz kerana ingin mendapat perhatian rakan-rakan artis, pengarah dan penerbit yang datang ziarah.
Saya betul-betul ikhlas menjaganya kerana Allah. Tiada niat lain.
Namun, kalau ada yang tidak percaya, saya tak boleh buat apa. Saya pun tak perlu nak buktikan apa-apa, kerana apa yang lebih baik sekarang adalah kita semua mendoakan arwah.
Dwan juga menyifatkan Huzz seorang yang sentiasa mahu melihat orang di sekelilingnya berjaya.
Saya masih ingat lagi. Huzz pernah nasihatkan saya agar tidak berputus asa mengejar kejayaan kerana katanya, usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Selain sentiasa memohon kepada Allah kerana rezeki daripadaNya bukan manusia.
Walaupun sekarang saya tidaklah popular seperti pelakon-pelakon lain, namun saya bersyukur dapat menjalankan bisnes sendiri dan masih aktif sebagai pemain ular.
Terdahulu, Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin meninggal dunia akibat kanser usus pada 8 Jun lalu di kediaman keluarganya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Jenazah Huzz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat daerah Seberang Perai Utara di Permatang Langsat.
Sekadar info, Dwan pernah muncul dalam drama Maaf Aku Tak Sempurna, Tanah Kubur dan filem Dollah Superstar.