Pelakon jelita, Dynas Mokhtar bersyukur selepas berjaya mendapatkan semula hampir kesemua wang yang lesap di dalam akaun peribadinya pada Januari lalu.
Artikel Berkaitan: Dynas Mokhtar Hampir Hilang Semua Duit Dalam Bank, Minta Orang Ramai Lebih Berhati-Hati
Hilang hampir RM60,000
Ketika ditemui OhBulan!, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata, dia kerugian hampir RM60,000 disebabkan kegiatan ‘scam’ yang dilakukan oleh orang tidak bertanggungjawab.
Menurut pelakon filem ‘Impak Maksima’ itu, hasil siasatan mendapati wang simpanannya lesap melalui pelbagai transaksi luar negara dilakukan menggunakan kad debit miliknya.
Saya kira-kira balik kesemua duit yang hilang hampir RM60,000 dan bersyukur dapat semula kembali wang secara berperingkat.
Kad debit saya itu dimasukkan dalam telefon pihak terbabit untuk membeli-belah kerana ada transaksi mata wang asing dari pelbagai negara seperti Arab Saudi, Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan, China dan Brazil.
Antaranya transaksi pembelian telefon pintar iPhone, pergi salun rambut dan beli makanan secara dalam talian. Disebabkan itu pihak bank dapat mengesan semula kehilangan wang.
Sungguhpun begitu, pelakon berusia 41 tahun ini memaklumkan masih terdapat saki-baki wang yang belum dikembalikan memandangkan isu ini melibatkan transaksi luar negara.
Saya anggap kes belum selesai lagi kerana masih ada dua ke tiga peratus baki yang belum dapat.
Jadi, saya akan cuba dapatkan semula kerana masalah itu bukan berpunca daripada saya dan bank perlu bertanggungjawab.
Mereka kata sebab utama tidak dapat balik daripada peniaga sendiri. Lagipun berurusan dengan transaksi antarabangsa.
Dynas berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Clepets Care Raya yang diadakan di Wanra Cafe, Bukit Jelutong pada petang Jumaat.
Dalam pada itu, Dynas sempat menitipkan pesan kepada orang ramai di luar sana agar tidak menyimpan wang dalam satu akaun sahaja supaya tidak menjadi mangsa sepertinya.
Nasihat saya kepada semua untuk tidak masukkan duit gaji dalam satu akaun. Jadi, kalian tak akan berputih mata kalau berlaku kes sebegini.
Memang susah untuk elak tetapi perlu berhati-hati.
Selain itu, simpan kad bank dan jugak kad pengenalan dalam dompet besi supaya ‘scammer’ tidak dapat imbas semua maklumat privasi.
Terdahulu, Dynas tampil memuat naik hantaran di Instagram (IG) mendedahkan wang simpanan dalam bank peribadinya hilang secara tiba-tiba.
Menurut Dynas pada ketika itu, berlaku pengeluaran ‘asing’ menggunakan mata wang asing tanpa pengetahuannya.