berita

Eddy Sophian Harap Single ‘Bidadari Hatiku’ Diterima Peminat

February 9th, 2024 | by Hazirah
Kini Trending

Pendatang baharu dalam industri muzik, Eddy Sophian meletakkan harapan yang sangat besar menerusi single sulungnya, Bidadari Hatiku agar dapat diterima oleh peminat-peminat di Malaysia.

Sejak lagunya dilancarkan pada Oktober 2023, karya ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dari Singapura itu semakin mendapat tempat di kalangan pendengar dan penonton platform penstriman digital.

Artikel Berkaitan: Bob Yusof Jalin Kerjasama Dengan Artis Singapura, Rancang Bawa Keluar Lagu Baru Tahun Ini!

Dilamar pengarah

Single barunya, Bidadari Hatiku telah mendapat sambutan yang sangat tinggi sehingga lagu tersebut dimainkan di stesen radio Singapura dan Indonesia.

Bukan itu sahaja, Eddy juga dilamar oleh seorang pengarah untuk berlakon di dalam sebuah drama. Malah, dia turut mendapat tawaran lagu oleh Sudrajat, komposer di Indonesia yang turut menghasilkan lagu buat penyanyi terkenal Judika.

Untuk video muzik Bidadari Hatiku, idea dan jalan cerita tersebut datang sepenuhnya dari saya. Malah saya terharu kerana mendapat tajaan dari Dance Studio dan sebuah restoran di Singapura yang sudi melancarkan lagi proses rakaman tersebut.

Selain itu, saya bersyukur kerana sejak lagu saya dilancarkan, ia turut dimainkan di stesen radio Singapura dan Indonesia. Penangannya, saya mendapat tawaran daripada Sudrajat untuk menghasilkan lagu saya yang seterusnya.

Menurut penyanyi yang mempunyai darah kacukan itu, dia mendapat dorongan daripada beberapa individu yang sudah berkecimpung lama dalam bidang muzik. Antaranya adalah pengarah muzik Singapura, Syawal Kassim dan guru vokalnya, Ann Hussein yang turut membantu dalam menyiapkan karya sulung tersebut.

‘Saya memang minat menyanyi’

Eddy berkata, cinta dan jiwanya kepada muzik sejak kecil membuatkan anak muda itu tetap meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian walaupun dia terikat dengan komitmen lain.

Buktinya, Eddy telah menyertai pelbagai pertandingan dan ujibakat nyanyian. Lebih manis, penyanyi berusia 25 tahun yang juga seorang pramugara ini telah tersenarai sebagai finalis Karaoke World Championship.

Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi. Ketika saya berusia 16 tahun saya mula memberanikan diri untuk sertai pelbagai pertandingan dan ujibakat. Alhamdulilah, taruhan saya membuahkan hasil apabila berjaya tersenarai sebagai salah seorang finalis Karaoke World Championship yang turut disertai oleh ramai peserta dari seluruh dunia.

Bercakap mengenai dorongan, saya mendapat inspirasi daripada ahli keluarga yang turut mempunyai bakat dalam bidang muzik. Jadi sejak kecil saya bersama ahli keluarga kadang-kala akan meluangkan masa dengan bermain alat muzik dan saya nyanyi bersama mereka.

Terdahulu, Eddy mencuri perhatian apabila cover beliau menyanyikan lagu What Was I Made For? nyanyian asal penyanyi antarabangsa Billie Eilish telah mendapat lebih dari 2.4 juta tontonan di media sosial.

Selain lagu runut bunyi filem Barbie itu, Eddy turut menyanyikan cover Sedetik Lebih yang mendapat komen penyanyi asal lagu tersebut, Anuar Zain.

Alhamdulillah, salah satu cover saya, What Was I Made For? tontonannya telah melebihi 2.4 juta. Selain itu, saya berasa terharu kerana cover Sedetik Lebih telah mendapat komen dari penyanyi asalnya iaitu Anuar Zain.

Dalam masa yang sama, Eddy berharap agar Bidadari Hatiku akan mendapat tempat dalam kalangan pendengar dan berbesar hati untuk menerima pelawaan kolaborasi daripada penyanyi-penyanyi di Malaysia untuk melebarkan lagi sayapnya.

Lagu Bidadari Hatiku boleh distrim di saluran digital Spotify, manakala video muzik pula sedia dilayari di laman YouTube.

SKIP THIS AD ×