Filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) meraih kutipan ‘box office’ RM15.3 juta selepas empat hari ditayangkan di pawagam termasuk tayangan awal sejak 22 Mei lalu sekaligus membuktikan jenama Ejen Ali menjadi kegemaran penonton di Malaysia.

Artikel Berkaitan: Ejen Ali The Movie 2 Kembali Dengan Misi Yang Lebih Besar, Tiga Runut Bunyi Jadi Pelengkap Filem Animasi 3D

Artikel Berkaitan: Ejen Ali The Movie 2 Kembali! Kolaborasi Muzik Ikonik Dari M. Nasir, Nidji & Hael Husaini Bangkitkan Semangat Penonton

Filem animasi kegemaran ramai

Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin meluahkan rasa syukur apabila wira tempatan itu kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Tidak hanya itu, Usamah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation berkata filem tersebut menerima sokongan yang luar biasa daripada para peminat.

Alhamdulillah, sejak sesi Fans Screening sehingga ke tayangan rasmi di pawagam, sokongan yang kami terima sangat luar biasa.

Bagi pihak produksi, kami berasa amat terharu dan gembira setiap kali membaca komen serta maklum balas daripada penonton.

Semua itu sangat bermakna buat kami dan lebih menggalakkan kami sebagai pengkarya untuk terus mengusahakan naskhah Ejen Ali yang akan datang.

Sambutan hangat ini membuktikan keterujaan penonton yang tidak sabar menyaksikan kepulangan Ejen Ali di layar perak dan dijangka akan terus mencatat angka yang lebih tinggi apabila musim cuti sekolah bermula pada 29 Mei.

Difahamkan, filem tersebut ditayangkan di 161 layar perak di seluruh negara, termasuk Brunei Darussalam dan ketika ini tiket sedang terjual dengan pantas di pelbagai lokasi dengan beberapa pawagam mula menambah sesi tayangan bagi memenuhi permintaan penonton.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, menyeru lebih ramai penonton untuk terus memenuhi pawagam, khususnya menjelang cuti sekolah yang semakin hampir.

Kami mengalu-alukan sokongan semua ejens untuk terus membanjiri pawagam dan menyemarakkan lagi semangat terhadap karya tempatan.

Datang dan bawalah keluarga serta anak-anak ke pawagam kerana EATM2 sememangnya hiburan yang membawa mesej penting dan sesuai untuk semua peringkat usia.

Pada masa yang masa, kami juga mohon kerjasama agar penonton tidak mendedahkan sebarang spoiler bagi memastikan setiap orang dapat menikmati pengalaman penuh tanpa gangguan atau pendedahan awal.