Mungkin ramai antara kita masih was-was tentang kemajuan ekonomi Malaysia, terutamanya lepas tempoh mencabar akibat pandemik dulu.
Tapi jangan risau, negara kita semakin melangkah ke depan! Produktiviti dalam sektor penting macam minyak sawit, pembuatan, perkhidmatan, dan minyak dan gas makin meningkat.
Kalau korang nak tahu, menurut Bank Negara (BNM) pada 17 Mei, ekonomi Malaysia kini tengah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2% pada suku pertama 2024, meningkat daripada 2.9% pada suku terakhir 2023. Wow, impressive, kan?
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, kenaikan dalam pekerjaan dan gaji, serta lebih banyak pelaburan modal. Malah, aktiviti eksport juga mula menunjukkan pemulihan yang ketara!
Ramalan untuk 2024 nampaknya lebih cerah berbanding 2023, dengan banyak pihak menjangkakan ekonomi akan terus kukuh.
Ini adalah berdasarkan analisis dari Ratings Agency Malaysia yang dikeluarkan pada 27 Februari, di mana pertumbuhan ekonomi dijangka berada antara 4.5% hingga 5.5% pada 2024, berbanding 3.7% pada 2023.
Nak tahu sektor-sektor yang jadi tulang belakang kepada peningkatan produktiviti ekonomi?
Minyak sawit, pembuatan, perkhidmatan, serta minyak dan gas (O&G) antara penyumbang utama yang membawa negara semakin maju!
Minyak sawit
Untuk pengetahuan korang, minyak sawit merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pada 2022 sahaja, Malaysia mengeksport kira-kira 15 juta tan metrik minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit bernilai kira-kira RM137 bilion.
Secara keseluruhan, sektor ini menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada KDNK setiap tahun.
Minyak sawit merupakan keluaran utama pertanian Malaysia serta perdagangan globalnya, menjadikan negara ini pengeluar kedua terbesar komoditi itu di dunia.
Pembuatan
Sektor pembuatan Malaysia, yang melibatkan subsektor seperti kimia, automotif, serta elektrik dan elektronik (E&E), menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara, dengan sumbangan besar sebanyak RM1.2 trilion kepada KDNK. Ini jelas menunjukkan kekuatan asas industri kita.
Industri automotif Malaysia sendiri antara yang terbesar di Asia, dengan hampir 30 pengeluar dan lebih 600 pengeluar komponen. Setiap tahun, ia menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada KDNK, dengan Proton dan Perodua memegang peranan besar di pasaran tempatan.
Menurut Menteri Perdagangan dan Pelaburan, Tengku Zafrul Aziz, pada Ogos lalu, subsektor kimia pula dijangka menyumbang RM40 bilion kepada KDNK menjelang akhir dekad ini, hasil peningkatan integrasi industri, daya saing global, dan pengeluaran mampan, kata
Industri E&E juga menjadi tulang belakang sektor pembuatan, menyumbang 5.8% kepada KDNK pada 2023, menurut MIDA.
Sasaran untuk sektor ini adalah untuk mencapai sumbangan RM120 bilion kepada KDNK dan eksport mencecah RM495 bilion menjelang 2025.
Menurut laporan Mida pula pada 27 Februari, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran E&E di Asia Tenggara, selaku pemangkin untuk pembangunan industri lain selain meningkatkan rantaian nilai bekalan,
Perkhidmatan
Selain itu, sektor perkhidmatan, termasuk pelancongan, kewangan, dan ICT, adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi, menyumbang hampir 55% kepada KDNK setiap tahun.
Subsektor pelancongan terus menjadi tunjang ekonomi, dengan pendapatan mencecah USD16 bilion (RM75 bilion) pada 2023. Wow!
Lebih membanggakan, subsektor kewangan Malaysia juga adalah antara yang paling stabil di rantau ini.
Rangka tindakan lima tahun Bank Negara Malaysia (BNM) memberi fokus kepada memperkuat pasaran kewangan sambil mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan.
Dalam ICT pula, negara sedang menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan pasaran ICT bernilai USD25.92 bilion (RM121.72 bilion), menurut data global. Ini menjadikan ICT pemain penting dalam pertumbuhan ekonomi.
Minyak dan gas
Macam yang kita tahu, Malaysia kaya dengan sumber asli dan sudah lama bergantung kepada hasilnya untuk menggerakkan ekonomi, sejak zaman sebelum Merdeka lagi.
Sebagai contoh, bijih timah, yang ditemui di Larut, Perak pada 1848, menjadi pemacu utama ekonomi lebih dari 100 tahun.
Hari ini, minyak dan gas (O&G) memainkan peranan penting, dengan Petronas sebagai peneraju utama dalam sektor ini, walaupun syarikat global, Shell yang mula sekali membuka peluang perniagaan itu kepada negara.
Tahukah korang, minyak pertama kali ditemui di Bukit Kanada, Miri pada tahun 1910 oleh Marcus Samuel and Company, yang kemudiannya dikenali sebagai Shell? Telaga minyak pertama Shell mampu mengepam sebanyak 83 tong sehari!
Selain Petronas, menerusi kerjasama dengan Petronas, beberapa syarikat besar seperti ExxonMobil, Hess Corporation (AS), PTT Exploration and Production (Thailand), dan EnQuest (UK) turut melabur dalam sektor O&G di Malaysia.
Hari ini, sektor O&G menyumbang sekitar RM300 bilion kepada ekonomi negara. Walaupun berdepan cabaran pasaran global, ia kekal menjadi sumber pendapatan penting serta pencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.
Di peringkat nasional dan negeri, sektor ini menyokong pertumbuhan ekonomi. Di negeri seperti Sarawak, Sabah, Terengganu, dan Johor, kehadiran Petronas membantu melatih vendor tempatan dan memberikan impak besar kepada ekonomi setempat.
Bersama kita melangkah ke hadapan!
Ekonomi Malaysia sedang berkembang pesat, berkat kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri. Dengan dasar yang kuat, setiap negeri dapat menikmati manfaat dari sumber yang ada.
Contohnya, minyak sebahagian besarnya diekstrak di beberapa negeri, tetapi negeri tanpa sumber semula jadi juga turut merasai faedahnya.
Setiap negeri, termasuk yang tiada sumber, sama-sama menyumbang kepada ekonomi.
Sebagai contoh, Pulau Pinang dan Selangor peneraju sektor pembuatan, manakala Sabah, Sarawak, dan Johor pengeluar terbesar minyak sawit.
Kesemua sektor ini membantu menguatkan dan menstabilkan ekonomi kita.
Secara keseluruhan, sektor ini menyumbang kepada kekuatan dan kestabilan ekonomi, jadi, sebagai sebuah negara, semua rakyat memainkan peranan dalam pertumbuhannya dan berkongsi manfaatnya.