Cuaca sekarang makin tak menentu. Ada hari panas terik sampai rasa bahang dia lain macam, ada pula kawasan yang hujan langsung tak turun dalam tempoh lama.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fenomena El Nino dijangka berterusan sehingga awal tahun 2027. Keadaan ini boleh menyebabkan taburan hujan berkurangan di beberapa kawasan di Malaysia, sekali gus meningkatkan risiko kemarau dan memberi kesan kepada sumber bekalan air.

Jadi, macam mana negara bersedia untuk hadapi situasi ni?

Sebenarnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil pelbagai langkah awal supaya bekalan air negara terus terjamin walaupun berdepan cuaca yang mencabar.

Apa sebenarnya fenomena El Nino?

Ramai ingat El Nino bermaksud cuaca lebih panas. Hakikatnya, fenomena ini berlaku apabila suhu permukaan Lautan Pasifik meningkat dan mengubah corak angin serta taburan hujan di beberapa negara termasuk Malaysia.

Antara kesan yang boleh berlaku ialah:

  • Hujan berkurangan dalam tempoh yang panjang.
  • Paras sungai dan empangan semakin menyusut.
  • Risiko kemarau meningkat.
  • Bekalan air untuk kegunaan harian, pertanian dan industri boleh terjejas jika tidak diurus dengan baik.

Malaysia sendiri pernah mengalami krisis bekalan air ketika El Nino 1997–1998 apabila lebih tiga juta penduduk di Lembah Klang terpaksa melalui catuan air selama hampir enam bulan.

Sebab itu, persediaan awal sangat penting sebelum keadaan menjadi lebih serius.

JPS pantau sumber air 24/7 supaya tindakan boleh dibuat lebih awal

Tidak tunggu empangan kering, baru nak bertindak.

JPS sentiasa memantau keadaan sumber air secara masa nyata di seluruh negara termasuk 56 buah empangan, paras sungai dan taburan hujan.

Semua maklumat ini dipantau melalui beberapa sistem digital seperti:

  • Portal InfoKemarau untuk melihat status kemarau seluruh negara.
  • Reservoir Information Management System (RIMS) bagi memantau paras air empangan dan keadaan cuaca secara masa nyata.

Melalui data ini, pegawai teknikal boleh mengesan perubahan lebih awal dan merancang langkah seterusnya sebelum keadaan menjadi kritikal.

Sistem khas boleh ramal risiko kemarau sehingga dua bulan lebih awal

Pemasangan pam berkapasiti 140 liter sesaat di Kampung Mak Chili, Kemaman pada 4 April 2026 bagi menyokong operasi JBPM dalam menangani kebakaran tanah gambut.

Salah satu inisiatif menarik yang dibangunkan JPS ialah National Water Balance Management System (NAWABS).

Sistem ini bukan sekadar memantau keadaan semasa, malah mampu:

  • Meramal ketersediaan sumber air sehingga dua bulan ke hadapan.
  • Memberikan amaran awal sehingga 14 hari sebelum risiko kemarau berlaku.
  • Menggabungkan data hidrologi dengan ramalan cuaca daripada MET Malaysia.

Maklumat ini membantu kerajaan dan agensi berkaitan merancang tindakan lebih awal seperti pengurusan bekalan air serta operasi pembenihan awan di kawasan yang memerlukan.

Bila paras air kritikal, JPS dah bersedia dengan lebih 600 pam kecemasan

Selain pemantauan, JPS turut memastikan aset di lapangan sentiasa bersedia.

Sebanyak 606 unit pam kecemasan mudah alih telah ditempatkan di seluruh negara dan boleh digerakkan apabila diperlukan.

Pam ini digunakan untuk:

  • Menyalurkan bekalan air ke kawasan yang terjejas.
  • Membantu skim pengairan pertanian.
  • Menyokong operasi memadam kebakaran hutan dan tanah gambut bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Lebih menarik, setiap permohonan bantuan akan diselaraskan oleh JPS dan aset boleh digerakkan ke lokasi terjejas dalam tempoh 24 jam.

Teknologi digital bantu operasi jadi lebih pantas

Seiring dengan usaha pendigitalan sektor air negara, JPS turut menggunakan teknologi seperti:

  • SCADA (Supervisory Control and Data Acquisition) untuk memantau operasi pam dan pintu air secara masa nyata.
  • Pump Tracking System bagi mengesan lokasi serta status operasi pam.

Teknologi ini membantu pasukan teknikal mengenal pasti sebarang gangguan lebih awal sekali gus memastikan operasi berjalan lancar ketika musim kemarau.

Pengurusan kemarau bukan tanggungjawab satu agensi sahaja

Menguruskan risiko kemarau memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Sebab itu, JPS bekerjasama rapat dengan:

  • Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
  • Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)
  • Operator bekalan air negeri
  • Kerajaan negeri
  • Agensi pertanian
  • Pelbagai pihak berkepentingan lain

Kerjasama ini memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan data semasa supaya tindakan yang diambil lebih cepat dan berkesan.

JPS terus bersedia demi memastikan bekalan air negara kekal terjamin

Fenomena El Nino mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi impaknya boleh dikurangkan melalui perancangan yang rapi dan tindakan awal.

Melalui pemantauan sumber air secara masa nyata, penggunaan teknologi moden, sistem ramalan awal, pengurusan empangan serta kesiapsiagaan aset di seluruh negara, JPS terus memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan air negara kekal stabil walaupun berdepan musim kemarau.

Pendekatan ini selari dengan aspirasi Dasar Air Negara dan Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air Negara (AIR 2040) dalam memperkukuh pengurusan sumber air secara mampan.

Ketahui status kemarau dan sumber air dengan lebih mudah

Infografik kedudukan dan taburan 606 unit aset pam kecemasan mudah alih JPS di seluruh negara.

Nak semak sendiri keadaan semasa sumber air atau status kemarau di Malaysia?

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi Portal Info Kemarau JPS, selain mengikuti saluran rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk perkembangan serta hebahan berkaitan pengurusan sumber air negara.