berita

Elak Menyesal Kemudian Hari, Ini 7 Panduan Anak Muda Bebaskan Diri Dari Hutang

October 24th, 2019 | by Athirah
Kewangan & Pelaburan

Pada hari ini, anak muda khususnya dilihat sering hidup secara mewah sehingga kadang-kala sanggup berhutang keliling pinggang semata-mata untuk kelihatan hebat di depan orang lain. Malah apa yang menyedihkan, masih ada daripada mereka yang sudah lama bekerja tidak mempunyai simpanan peribadi kerana sikap yang terlalu boros dan pada akhirnya berhutang dengan orang lain setelah kehabisan wang.

Perkongsian pengguna Facebook Amir Syahir ini mungkin boleh diamalkan bagi mengelak serta mengeluarkan diri dari menjadi hamba hutang untuk selamanya.

1. Semak balik gaya hidup

Jika kau tak mampu tambah pendapatan, kau kena kurangkan komitmen. Kau kena ubah gaya hidup. Biarlah orang lain cakap kau kedekut nak berbelanja asalkan kau tahu tangan kanan kau suka menderma.

Biarlah orang lain pakai kereta import mewah, kau pakai Axia je. Biarlah orang lain bercuti dekat Eropah, kau bercuti dekat Pulau Langkawi saja. Tak perlu nak bermegah-megah ataupun pura-pura kaya semata-mata untuk dapatkan pujian. Bersyukur dengan apa yang ada, nanti rezeki akan lagi bertambah.

2. Perangkap kad kredit

Jika kau tak pandai uruskan kad kredit jangan buat dan jangan guna. Jika sebulan terlepas bayar, profit bank akan naik. Jika pandai gunakan sebaiknya, boleh teruskan.

Gunakan kad debit saja. Kau ada hutang PTPTN tapi bayar tak konsisten, jangan harap kau nak bayar hutang kad kredit tepat pada masanya. Kau kan sibuk travel dan juga sibuk main Facebook je memanjang.

3. Sediakan belanjawan

Semua orang tahu pasal buat bajet atau belanjawan ni tapi sukar untuk laksanakan. Mulakan buat bajet ringkas seperti senaraikan semua komitmen atau hutang yang perlu dibayar setiap bulan. Senaraikan perbelanjaan untuk sebulan dan juga kos sara hidup. Gunakan aplikasi My Tabung daripada BNM untuk memudahkan kau merangka bajet.

Jadilah orang yang bijak merancang. Dengan membuat bajet kau akan lebih mudah dan bijak untuk menguruskan kewangan. Sekurang-kurangnya kau tahu ke mana duit kau orang pergi.

4. Bahaya pembiayaan peribadi

Fikir sekali lagi jika mahu berhutang semata-mata untuk majlis perkahwinan. 5 tahun bercinta, 50 kali makan tempat mewah, 70 kali bercuti bersama mencipta kenangan tapi langsung tak terfikir nak bina tabung kahwin?

Jangan ikut sangat nasihat suruh pergi travel sana-sini pada usia muda sampai nak kahwin pun kena buat pembiayaan peribadi.

Jauhi juga pembiayaan peribadi jika mahu melabur dalam skim cepat kaya. Ataupun sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

5. Hidup di bawah kemampuan

Anak muda sekarang baru kerja beberapa bulan je sudah nak beli kereta import mewah, terus nak buat kad kredit. Gaji kau tu ciput, sedar-sedar la diri. Cuba la hidup di bawah kemampuan terlebih dahulu. Tangguhkan kehendak. Simpan dan teruskan menyimpan.

Ingatlah bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Kau boleh pilih mana yang kau nak. Nak hidup senang dulu atau nak susah dulu? Fikir-fikirkan ya.

6. Bayar diri sendiri dahulu

Bila dah dapat gaji ataupun pendapatan, terus tolak 10% daripada gaji tersebut. Simpan dan jangan guna. Jadikan ia sebagai tabiat menabung untuk kegunaan jangka masa panjang.

Jika terguna untuk beli kehendak, gantikan balik dengan 30% sebagai denda kepada diri sendiri. Apabila gaji mula meningkat, mulakan melabur di tempat yang diyakini dan terjamin. Antaranya unit amanah ataupun ASB Financing.

7. Tambah pendapatan

Jangan malu kau buat bisnes online ataupun berniaga kecil-kecilan. Tapi malu lah, ada hutang berlambak tapi masih tak nak ambil apa-apa tindakan.

Banyak kau boleh buat, antaranya jadi runner, dropship, ejen takaful, dan sebagainya. Dapat cover barang dapur jadi lah.

Sumber: Facebook Amir Syahir