Bersempena bulan Ramadan yang penuh rahmat, sebuah program kebajikan dinamakan ‘Jom Kongsi Rezeki Bersama Anak Yatim’ telah dianjurkan dengan mengangkat tema ‘Berkongsi Rezeki, Menyemai Harapan’.

Artikel Berkaitan: Lebih RM500,000 Disalur Kepada Rakyat, PERKESO Santuni Anak Yatim & Pekerja Terjejas

Artikel Berkaitan: Anzalna Nasir Peroleh Rezeki Tak Disangka Selepas Belanja Anak Yatim Makan – ‘Bukan Untuk Riak Cuma Ingin Berkongsi’

Menyuntik sokongan moral

Majlis yang diadakan di Urban Park Hall, Shah Alam itu bertujuan menyebarkan kegembiraan, kasih sayang serta berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim dari Asrama Kasih YBK Serendah (ASKAS).

Seramai 50 orang anak yatim dari ASKAS diraikan bersama tiga orang penjaga termasuk pengetuanya, iaitu Halimah Saadiah Mohd Nawi, dalam majlis yang berlangsung dari jam 5.30 petang hingga 9.30 malam.

Selain menikmati juadah berbuka puasa, mereka turut disajikan dengan pelbagai pengisian Ramadan seperti sesi zikir, persembahan nasyid dan penyampaian sumbangan.

Program ini dianjurkan dengan matlamat utama untuk memberikan pengalaman bermakna kepada anak-anak yatim, khususnya dalam bulan Ramadan yang sinonim dengan nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat berkongsi.

Di samping itu, ia juga bertujuan menyuntik sokongan moral serta keceriaan agar mereka sentiasa merasakan diri dihargai dan disayangi oleh masyarakat.

Lebih menyentuh hati, program ini turut membawa nilai sentimental apabila salah seorang penganjurnya, Muhamad Izzat bin Samadi, merupakan bekas penghuni ASKAS yang pernah menetap di rumah kebajikan tersebut selama enam tahun.

Pengalaman lampau itu menjadi dorongan buat dirinya untuk kembali menyumbang dan berkongsi kegembiraan bersama anak-anak di situ.

Inisiatif kebajikan seperti ini bukanlah yang pertama dianjurkan.

Sebelum ini, pelbagai program seumpamanya telah dilaksanakan termasuk bantuan kepada golongan asnaf yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di sekitar Hulu Selangor pada tahun 2020, program kebajikan di Al Khairiah, Sekinchan pada tahun 2024, serta di Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali pada tahun 2025.

Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyemai budaya memberi kembali kepada masyarakat.

Dimeriahkan bersama

Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat dan tokoh industri termasuk wakil daripada Juz Coffee, serta individu seperti YM Tengku Loreta Binti Tengku Dato’ Setia Ramli AlHaj, Dato’ Ivan Lim dan Dato’ Che Mat Che Ismail.

Selain itu, kehadiran artis tempatan seperti Elly Arifin, Asfan Shah, Wanns Ahmad, Aqeesh Aleeya, Wani Annuar dan Aiman Zaidi turut menambah seri acara.

Program ini juga mendapat sokongan daripada beberapa penaja yang memainkan peranan penting dalam menjayakan majlis tersebut.

Zai Sri Gemilang Catering tampil sebagai penaja utama dengan menyediakan hidangan serta lokasi, manakala Juz Coffee bertindak sebagai penaja bersama.

Di samping itu, beberapa jenama lain turut menyumbang barangan kepada anak-anak ASKAS seperti Jakel HQ (pakaian raya), Choctop (kasut), One Drop Perfume (minyak wangi), The Batek Boutique (set lukisan), Nestlé (ais krim) dan Bloomthis (hamper).

Menerusi penganjuran ‘Jom Kongsi Rezeki Bersama Anak Yatim’ ini, pihak penganjur berharap lebih ramai tampil berganding bahu dalam menyebarkan kebaikan serta menyantuni golongan yang memerlukan, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Sesungguhnya, mereka yang pernah melalui kesusahan sering kali lebih memahami erti sebenar memberi.