Bekas Menteri Pendidikan, Prof Dr Maszlee Malik berkongsi pandangannya susulan pelaksanaan dasar Kerajaan yang menetapkan pendidikan pra-sekolah bermula pada usia lima tahun manakala tahun satu pada usia enam tahun.

Artikel Berkaitan: Dikecam Guna Ayat Berbaur Lucah, Maszlee Malik Mohon Maaf

Adakah anak mampu?

Menerusi hantaran di Instagram Maszlee berkata, dia menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa yang bertanya sama ada anak mereka yang kini berusia lima tahun sesuai untuk masuk ke darjah satu pada tahun hadapan.

Jelas Maszlee, oleh kerana perkara itu merupakan satu pilihan dan bukannya kewajipan, ibu bapa perlu menilai kemampuan serta situasi anak masing-masing.

Saya menerima banyak pertanyaan dari ibu bapa muda apakah anak mereka yang berumur 5 tahun sekarang sesuai untuk masuk ke darjah satu tahun hadapan?

Oleh kerana ianya adalah pilihan dan bukannya wajib, maka ibu bapa kena mengukur baju di badan sendiri.

Tanyakan kepada diri masing-masing. Apakah anak anda yang berusia lima tahun kini sudah boleh membaca, menulis dan mengira?

Apakah mereka telah pun memasuki pra-sekolah sekarang ini? Apakah mereka sudah boleh menjaga diri sendiri dan terbiasa dengan persekolahan? Apakah anak-anak sendiri telah bersedia untuk masuk sekolah?

Dalam pada itu, Maszlee turut menegaskan bahawa apa jua keputusan yang dibuat oleh ibu bapa, anak-anak tidak seharusnya dipaksa sekiranya mereka belum bersedia.

Di penghujung hari, apapun keputusan ibu bapa, saya harap jangan paksa anak-anak anda jika mereka belum bersedia.

Jangan berikan tekanan kepada anak-anak semata-mata inginkan mereka masuk sekolah pada tahun hadapan. Ia bukan satu perlumbaan.

Dalam masa sama, Maszlee mencadangkan agar kanak-kanak yang berusia empat tahun dipersiapkan untuk memasuki tadika atau pra-sekolah.

Walau bagaimanapun, bagi anak-anak yang berumur empat tahun, eloklah mereka dipersiapkan untuk masuk ke tadika atau pra-sekolah pada tahun hadapan.

Maszlee turut menyarankan ibu bapa menggalakkan anak-anak mula membaca dan mengurangkan masa bermain gajet, sebaliknya memperbanyakkan perbincangan mengenai alam sekitar, sains serta pemikiran kritis.

Galakkan membaca, kurangkan waktu melayan handphone, gadget dan bermain game, dan banyakkan berbincang dengan mereka mengenai alam persekitaran, sains dan galakkan mereka berfikir kritis.

Apapun yang anda ingin rancangkan buat anak-anak pastikan ianya bukan reaksi spontan, tetapi berdasarkan perancangan yang rapi, perbincangan yang tuntas antara kedua pasangan dan dapatkan pandangan mereka yang lebih berpengalaman.