Menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa sikap segelintir masyarakat Melayu yang lebih mempercayai pihak selain pakar perubatan dan menolak pengambilan vaksin COVID-19 tanpa alasan kukuh menjadi cabaran besar kepada pihak KKM.
Cabaran paling besar
Menurut Khairy, walaupun pihaknya tidak melihat isu pengambilan vaksin termasuk dos penggalak mengikut pecahan kaum. Bagaimanapun, perbezaan mengikut masyarakat adalah ketara apabila sesuatu kaum menunjukkan bilangan penerima pelalian tinggi manakala satu lagi kaum adalah sebaliknya. Tambah beliau, faktor berkenaan perlu diambil kira bagi melaksanakan intervensi yang berkesan.
Apa yang kita tahu sekarang ini keengganan menerima dos penggalak atau pun menyertai Program Imunisasi COVID-9 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dalam kalangan masyarakat Melayu agak tinggi. Berikutan itu, usaha melaksanakan sesi penerangan dan usaha menjawab satu persatu isu tular dalam kalangan masyarakat Melayu mesti dipertingkatkan.
Khairy sempat berseloroh secara sinis apabila menegaskan pihaknya perlu terus mencuba kerana masyarakat Melayu percayakan ‘iluminati’.
Mematahkan hujah kumpulan penentang vaksin
Ujar Khairy lagi, pakar perubatan dalam bidang masing-masing sudah diminta untuk lebih kerap tampil di media sosial bagi menjawab dan mematahkan hujah kumpulan yang menentang vaksinasi.
Mereka (kumpulan penentang vaksinasi) sangat rajin dan berjaya menakutkan orang lain, jadi usaha untuk mengatasi pandangan tidak berasaskan sains ini akan diperhebatkan.
Sumber: TV9