
Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima memaklumkan dirinya tidak mempunyai perancangan untuk membuat ‘sequel’ bagi drama ‘Keluarga Itu’.
Artikel Berkaitan: Erma Fatima Kongsi Realiti Kes Sosial, Kesal Ramai Jijik Drama ‘Keluarga Itu’ – ‘Masih Nak Simpan Bawah Karpet?’
Tak ada perancangan

Ketika ditemui OhBulan!, Erma atau nama sebenar Fatimah Rahmad Ali berkata, adalah sukar untuknya membuat sambungan bagi drama tersebut yang sudah menjadi fenomena sehingga meraih lebih 4 juta tontonan pada episod akhir.
Perjelas Erma lagi, dia juga merupakan seorang pengkarya yang tidak suka memaksa untuk melakukan ‘sequel’ bagi sesebuah drama yang dihasilkan.
Buat masa ini tiada perancangan untuk saya sambung (drama kedua) kerana saya seorang yang tak suka sambung.
Ini kerana, saya seorang yang tak suka paksa sesebuah cerita itu sebab bila awak sambung sesuatu drama, awak akan jadi susah nak mengkonflikkan sesebuah cerita itu.
Dan bila tak cukup konfliknya, kita akan merosakkan pula cerita itu.
Pada saya, banyak dah klimak cerita dalam drama yang pertama dan kalau buat yang kedua, apa pula klimak cerita yang saya nak bawa?
Dan kalau buat, ia akan jadi macam satu benda yang dipaksa-paksa dan ‘fake’.
Erma berkongsi perkara tersebut ketika sesi pusingan akhir pencarian pelakon Drama Sangat TV3 bertempat di Balai Berita, Media Prima, minggu lalu.
Tak kejar nama dan wang ringgit

Bercerita lanjut, kakak kepada pelakon Datin Seri Umie Aida memaklumkan dirinya tidak mengejar nama mahupun wang ringgit sebaliknya, hanya mahu memberikan yang terbaik dalam setiap karya yang dihasilkan.
Sesiapa sahaja yang buat drama atau filem mesti kerana duit tapi pada saya untuk sambung hanya semata untuk dapatkan ‘job’ dan duit, saya tak akan buat.
Sebagai contoh, kalau yang nombor satu dah bagus dan memaksa pula diri untuk buat yang kedua tetapi yang kedua ini tidak sehebat satu maka kita membuang masa sebenarnya.
Tapi kalau nak buat yang kedua, kena lagi hebat daripada yang nombor satu. Ini bermakna, tanggungjawab lebih besar.
Dan kalau rasa tak dapat nak menandingi yang nombor satu, seeloknya jangan buat.
Sekadar info, drama ‘Keluarga Itu’ yang disiarkan di TV3 telah mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Drama yang ditayangkan di slot ‘Lestary’ itu dibintangi pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Izara Aisyah, Puteri Balqis dan ramai lagi.







