
Penyanyi bervokal lantang, Ernie Zakri kembali dengan single terbaharunya berjudul Dansa, hasil ciptaannya sendiri bersama John Jeeves yang turut bertindak sebagai penerbit.
Artikel Berkaitan: ‘Waktu Kecil Tidak Kenal Penyanyi Lain Selain Ziana & Anuar, Mereka Inspirasi Saya’ – Ernie Zakri
Dansa
Dansa menampilkan sisi baharu Ernie melalui gabungan pop moden dan elemen funky, dengan mesej segar yang mengajak pendengar untuk meraikan kehidupan walaupun dalam kesedihan.
Menurut Ernie, lagu Dansa tercipta daripada keinginannya untuk mengajak orang ramai agar tidak terus tertekan dengan cabaran hidup.
Emosi yang ingin disampaikan adalah kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Dalam hidup, kadangkala kita terlalu dibebani tekanan sehingga lupa menikmati serta menghargai apa yang berada di hadapan mata.
Tambah Ernie, kerjasama dengan John Jeeves dalam penulisan serta penerbitan memperlihatkan keserasian dan kefahaman kreatif yang tinggi antara mereka.
Bekerjasama dengan John satu pengalaman yang menyenangkan. Aliran idea kami berjalan dengan lancar dan proses penulisan lirik berlaku dalam tempoh yang singkat kerana saya jelas dengan hala tuju yang ingin dibawa.
Saya berharap lagu ini dapat membantu pendengar melupakan kesedihan dan menikmati setiap detik yang hadir.
Dansa turut menonjolkan sisi muzik Ernie yang lebih moden dan berani bereksperimen. Walaupun masih mengekalkan genre pop sebagai identiti utamanya, pendekatan kali ini lebih funky dan segar.
Walaupun Dansa masih berteraskan genre pop, pendekatannya lebih funky dan kontemporari. Saya merancang untuk menyertakan lagu ini dalam album Sahabat, agar keseluruhan album menampilkan variasi konsep menarik.
Dansa kini boleh didengarkan di semua platform digital.