
Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, mendedahkan dia memberi sepenuhnya kebebasan kepada puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 16, untuk menceburi bidang penulisan dan penerbitan buku.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Erra Fazira Teliti Content Sebelum Kerjasama – ‘Kalau Keterlaluan Saya Tolak, Risau Peminat Terkejut’
Galak anak menulis buku
Menurut Erra atau Fazira Wan Chek, 51, tiada sebarang sekatan untuk Aleesya menerokai kerjaya yang diminati, termasuk jika anaknya mahu mencuba nasib dalam arena hiburan.
Saya sebenarnya tiada halangan untuk Aleesya menjadi penulis. Tetapi saya galakkan dia untuk jadikan bidang ini sebagai punca pendapatan sampingan.
Kalau boleh saya mahu dia belajar lagi dan terokai bidang lain-lain juga. Kalau dia mahu jadi veterinar, pakar psikologi atau terbabit dalam bidang hiburan sekali pun, dia boleh jadikan penulisan ini sebagai sampingan.
Kalau dia minat hiburan saya lebih galakkan dia untuk menjadi pengacara. Cuma, sekarang ini macam ada ‘berlian’ dalam mulut dia, introvert dan pemalu. Jika dia minat menyanyi saya hantar ke kelas vokal untuk persediaan diri.
Erra berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Buku Kanak-Kanak Pertama Little Nina and The Adventure of Fatimah Az Zahra oleh Engku Aleesya Engku Emran, pada Ahad.
Tambah Erra, dia turut berasa bangga dengan bakat anaknya yang mampu menghasilkan idea penulisan di luar kotak meskipun masih muda.
Saya bukan mahu memuji anak tetapi saya kagum dengan ideanya yang saya sifatkan di luar kotak dalam penulisan. Sejak kecil dia sudah tunjukkan bakat menulis.
Sebagai seorang yang pemalu, segala perasaan dicurahkan menerusi penulisan, macam saya dulu sebelum adanya gajet. Saya suka menulis dan membaca, bahkan karangan saya dahulu sering menjadi contoh kepada rakan sekelas.
Sementara itu, bapa Aleesya iaitu Engku Emran, menyatakan dia turut memberi galakkan supaya anaknya menulis buku dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
Waktu dia menulis buku ini, dia baru berusia 14 tahun dan ketika itu tidak sesuai lagi dia untuk dia menulis kisah cinta remaja. Saya mahu dia menulis buku yang mampu memberi inspirasi kepada golongan kanak-kanak.
Saya tak mahu letak sasaran tinggi untuk dia, cukup untuk di menulis buku yang mudah difahami walaupun dia sendiri membaca buku-buku untuk pembaca dewasa.
Untuk makluman, buku sulung Aleesya diterbitkan oleh Tertib Publishing sebanyak 1,000 naskhah dan setakat ini, 50 peratus daripadanya telah terjual.