
Seorang wanita maut dipercayai ditikam oleh anak perempuannya sendiri yang baru berusia 12 tahun.
Ditikam sebanyak 20 kali

Memetik laporan Liputan6, kejadian yang berlaku di Kecamatan Medan Sunggal, Indonesia pada 10 Disember lalu, menyaksikan mangsa, Faizah Soraya, 42, ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan 20 kesan tikaman di tubuhnya.
Lebih mengejutkan, suspek yang merupakan anak kedua mangsa, dikenali sebagai SAS, merupakan seorang murid Tahun 6 sekolah rendah (SD) yang selama ini dikenali sebagai pelajar berprestasi cemerlang dan berperwatakan pendiam.
Menurut laporan polis, insiden berdarah itu berlaku sekitar jam 5.00 pagi. Suami mangsa, AH, yang sedang tidur di tingkat dua rumah mereka, terkejut apabila mendengar jeritan meminta tolong daripada anak sulungnya.
AH segera meluru turun ke bilik tidur di tingkat bawah dan tergamam melihat isterinya sudah terbaring kaku di atas katil dengan keadaan berlumuran darah.
Di sisi jenazah, anak perempuannya, SAS, didapati sedang memegang sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian walaupun pasukan perubatan dari Hospital Colombia Asia tiba tidak lama kemudian. Pemeriksaan awal polis mendapati terdapat kira-kira 20 liang luka tusukan pada badan mangsa.
Mangsa dan suspek sangat akrab

Jiran tetangga terkejut dengan berita itu kerana keluarga tersebut memiliki hubungan yang akrab dan harmoni.
Mereka sangat akrab. Tiada jarak antara ibu dan anak. Setiap pagi ibunya akan menghantar anak keluar dan memanggilkan Grab sebelum ke sekolah.
Kami tidak menyangka dia sanggup berbuat demikian. Dia anak yang paling ramah dalam keluarga itu dan sangat berprestasi di sekolah.
Walaupun motif sebenar masih dalam siasatan, beberapa saksi mendakwa terdengar pertengkaran mulut dari rumah tersebut sebelum kejadian.
Terdapat dakwaan bahawa suspek bertindak sedemikian kerana sakit hati selepas ibunya sering membebel atau memarahi kakaknya.
Mungkin kerana ibunya agak cerewet, jadi mungkin dia sakit hati. Padahal dia sudah mahu tamat sekolah rendah.
Suuspek telah ditahan dan pisau yang digunakan telah dirampas sebagai bahan bukti.
Jenazah Faizah Soraya telah selamat dikebumikan selepas proses bedah siasat dijalankan di Hospital Bhayangkara Kota Medan.
Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sumber: Liputan6








