Pelakon Ashraf Muslim mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi isu membabitkan perihal keluarga di media sosial.
Artikel Berkaitan: Ashraf Muslim Masih Laku, Tak Kisah Digelar Hero Tua
Kita buka aib
Ketika ditemui OhBulan!, Ashraf menyifatkan perkara itu sebagai privasi yang seharusnya disimpan dan hanya diketahui ahli terdekat.
Bagi saya benda-benda macam ini..fasal keluarga, simpan untuk kita sajalah. Kalau kita asyik nak beritahu pada orang, kadang-kadang kita buka aib kita. Kita terlupa tu.
Jadi senang ceritalah, kebahagiaan diri kita, kesusahan dalam keluarga kita, apa saja hubungan dalam kaum keluarga, tak payah beritahu orang lain. Biarlah kita simpan, selesaikan masalah kita.
Ashraf berkata demikian ketika tayangan filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! yang diadakan di TGV One Utama, pada Rabu.
Selain Ashraf, filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! turut dibintangi barisan pelakon hebat lain antaranya Aeril Zafrel, Ruhainies, Aishah Ilyas, Neera Azizi dan ramai lagi.
Filem arahan Arjin Uppal terbitan Real Reel Pictures Sdn Bhd sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 7 Julai.
Doa benda baik
Tambah aktor berumur 41 tahun ini, dia juga menasihati kepada segelintir netizen yang suka menjatuhkan hukuman terhadap kontroversi yang membabitkan artis sedangkan tidak tahu kisah sebenar.
Jangan kita mengecam. Sebaliknya doa, cakap dan balas dengan benda yang baik-baik.
Saya berkata begitu sebab kita tidak tahu, kadang-kadang apa yang dikatakan itu boleh jadi satu doa juga. Bimbang akan terpalit kepada kita balik. Kadang-kadang kita lupa benda yang begitu.
Jadi, kita kena sentiasa fikir positif sebab saya sendiri pernah alami situasi ini. Senang cerita, doa yang terbaik. Kalau nak menegur, tegur dengan cara berhemah, jangan sampai menyakitkan hati.
Supaya mereka yang terlibat berfikir ada lagi orang yang sayangkan mereka, boleh buat keputusan yang baik.
Dalam pada itu, turut ditanya pengalaman ketika di awal berpoligami, pemilik nama Muhd Ashraf Muslim akui bukan satu perkara yang mudah.
Katanya, perlu banyakkan bersabar dan tenang untuk membuat keputusan yang tepat.
Susah.. Kena tenang, sabar. Buat keputusan betul-betul. Kalau tidak tenang, tak sabar akan buat keputusan yang tak betul.
Sekadar info, Ashraf yang kini menjalani kehidupan bahagia bersama dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.
Hasil perkongsian hidup Ashraf dengan Noor Dayana, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 7.
Bersama Wan Sakinah pula, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3.
Sumber: Instagram @ashrafmuslim