Pelakon Fauzi Nawawi bersama beberapa aktor lain termasuk Shaheizy Sam dan Ebby Yus tampil menerusi filem pendek berjudul Neon: Warna Kehidupan.

Filem pendek Neon: Warna Kehidupan

Filem pendek arahan pelakon dan pengarah, Raja Azrey ini mengangkat genre drama nostalgia dengan suntikan elemen emosi dan aksi ringan, mengupas tema kasih seorang ayah, nilai kenangan, serta pertembungan prinsip hidup antara generasi.

Neon: Warna Kehidupan mengisahkan Azad (lakonan Fauzi Nawawi), seorang lelaki kampung yang kembali ke rumah pusaka arwah ayahnya (Ebby Yus) bersama isterinya, Jannah (Lisdawati), selepas hilang pekerjaan di kota. 

Di rumah usang itu, Azad menemui kembali motosikal RX-Z peninggalan ayahnya. Motosikal tersebut bukan sekadar jentera usang, tetapi simbol kasih dan pengorbanan seorang ayah yang tidak pandai meluah kata.

Namun, nilai sentimental itu tidak dikongsi isterinya. Bagi Jannah, RX-Z tersebut hanyalah aset yang boleh dijual. Tanpa pengetahuan Azad, motosikal itu dijual kepada Nas (Shaheizy Sam), bekas sahabat Azad yang menyimpan dendam lama. Konflik tercetus apabila Nas enggan melunaskan bayaran penuh dan melarikan RX-Z itu. 

Azad bersama sahabat kampung serta geng RX-Z tempatan terpaksa mengejar kembali simbol warisan itu dalam pergelutan dramatik di malam gelap. Akhirnya, Jannah mula mengerti. Hidup bukan sekadar kejaran angka dan kemewahan, tetapi tentang menghargai perjalanan dan cahaya kecil yang pernah memandu kita.

Penglibatan Fauzi Nawawi

Ketika ditemui OhBulan! Fauzi yang menggalas dua peranan penting dalam kolaborasi antara XROOV dan RXZ Members ini meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk menjadi duta jenama sekaligus melibatkan diri dalam filem pendek Neon: Warna Kehidupan.

Masa ditawarkan untuk berlakon, saya tidak diberitahu siapakah pelakon yang akan turut terlibat. Cuma mereka cakap saya akan bergandingan dengan isteri saya.

Kemudian mereka beritahu dapat hubungi Shaheizy Sam dan masa tu saya dah mula bersemangat dah.

Dalam pada itu, Fauzi berkata meskipun filem pendek ini hanya mengambil masa selama satu hari untuk disiapkan tetapi hasilnya sangat membanggakan. Malah filem pendek ini sarat dengan mesej bermakna.

Tambah Fauzi, pelantikannya sebagai duta XROOV juga bukan suatu kebetulan. Hubungan akrab bersama pengasas jenama tersebut, Mohd Rafiz Zainal dan Rusydina Norman, mungkin menjadi antara pemangkin kerjasama ini.