Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir individu yang tergamak menyentuh isu kaum dan bangsa dengan tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali, di Genting Highland.
Artikel Berkaitan: ‘Peluang Jumpa Mangsa Tragedi Tanah Runtuh Masih Hidup Tipis’ – Pengarah JBPM Selangor
Jadi lebih sensitif
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Fazley menyatakan tidak ada halangan untuk netizen lantang bersuara di media sosial.
Namun kata Fazley, 44, tidak sepatutnya isu bangsa dan kaum dijadikan kayu pengukur untuk menentukan tahap kasihan terhadap mangsa yang terlibat.
Betul lah netizen itu bebas bersuara, tapi kenalah juga tengok keadaan. Bila isu bangsa dan kaum jadi kayu pengukur untuk tentukan tahap kasihan terhadap mangsa, saya sendiri turut terkesan.
Korang, kita nak masuk 2023 dah ni. Tak perlulah semua orang diingatkan apa yang perlu dikongsi dan apa yang perlu difikirkan semula sebelum dikongsikan.
Mohon lebih sensitif dengan kemungkinan ada ahli keluarga mangsa yang terbaca komen-komen sinis itu.
Dah namanya rakyat Malaysia maka bukan hanya bola sepak yang menyatukan kita tetapi musibah juga seharusnya membuatkan kita semua bersatu hati dalam simpati.
Dalam pada itu, pemilik nama Ahmad Fadzli Yaakob turut mengingatkan semua warganet agar lebih berhati-hati dalam membuat perkongsian terutama melibatkan hal sensitiviti masyarakat.
Pada Jumaat lalu, tragedi tanah runtuh melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter (m) dengan ketinggian 70 m di di sebuah tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Batang Kali.
Berdasarkan kenyataan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kejadian itu telah meragut nyawa enam mangsa dengan lima daripadanya merupakan wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun.
Mangsa meninggal dunia ialah Lim Wei Xin, Hong Mei Jin, Nurul Azmani, Lai Lee Yin, Lai Lee Koo, manakala kanak-kanak terbabit ialah Tong Kai.
Sumber: Instagram @fazleyyaakob