Industri perfileman Malaysia bakal digemparkan dengan kemunculan filem 6 Jilake arahan Aziz M Osman serta penerbit oleh pakar audiologi iaitu Dr. Nur Shasa’ Ain Tan Sri Abdul Aziz.

Selepas satu dekad memperjuangkan kesedaran kesihatan pendengaran melalui Eartistic Hearing & Balance Centre, Dr. Shasa kini melangkah ke dunia perfileman dengan filem aksi komedi 6 Jilake di bawah syarikat baharunya, Eartistic Entertainment.

Sepuluh tahun lalu, saya bermula dengan satu visi iaitu untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya pendengaran dan keseimbangan.

Kini, saya memilih filem sebagai wadah baharu kerana saya percaya seni mampu memberi kesan lebih mendalam.

Ketika ditemui OhBulan!, Dr Sasha mengakui bahawa dia terdetik untuk membuat filem 6 Jilake selepas ‘dipinang’ oleh pengarah, Aziz M Osman yang juga merupakan kenalannya sejak beberapa tahun.

Secara jujurnya, saya selesa dengan dunia hiburan. Saya juga memang buat muzik sejak dari kecil dan sertai tunas budaya di Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara (KKKN). Bidang hiburan dan muzik memang dah dekat di hati saya.

Apabila ditanya mengenai harapannya, Dr Shasa berharap agar filem 6 Jilake ini dapat menambat hati orang ramai kerana menyifatkan ianya adalah satu naskhah yang mampu memberi mesej bermakna kepada setiap penonton.

Bajet filem ini adalah RM2.8 juta tapi saya mengharapkan kutipan mencecah RM10 juta.

Bakal ditayang pada 24 April

Bercakap mengenai kerjayanya di dalam dunia perubatan sehingga membawa revolusi dalam industri kreatif menerusi Eartistic Entertainment, Dr Shasa berkata, kejayaan siri animasi Kembara Utan yang mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui hiburan membuatkan dia mahu mencuba sesuatu yang lebih mencabar.

Filem ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah satu penghormatan kepada budaya dan sejarah Malaysia, dengan sentuhan moden yang mampu menarik perhatian generasi baharu.

Saya mahu membawa cerita yang mampu mengubah perspektif dan menyatukan masyarakat.

Ini bukan sekadar perniagaan, ini adalah perjuangan. Saya mahu setiap individu sedar mendengar itu nikmat dan seni adalah medium terbaik untuk menyampaikan mesej yang besar.

Dengan Eartistic, saya akan terus melangkah ke hadapan untuk memberi impak yang lebih besar.

6 Jilake adalah sebuah filem yang mendapat peruntukan geran daripada Dana Kandungan Digital oleh Kementerian Komunikasi dan FINAS .

Filem 6 Jilake yang mendapat sentuhan pengarah prolifik tersohor, Aziz M Osman bakal ditayangkan di lebih 100 pawagam tempatan pada 24 April 2025.

Bakal menjanjikan pengalaman baharu buat penonton, filem 6 Jilake dirumus dengan pelbagai kisah menarik yang mengambil inspirasi filem 6 Jahanam arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

6 Jilake menampilkan lakonan bintang berbakat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, Jalil Hamid dan ramai lagi.