Infinite Loop Media Sdn Bhd (ILM) tampil dengan sebuah projek filem yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh menerusi filem yang berjudul Siluman: Dendam Harimau Jadian.

Artikel Berkaitan: Dilengkapi Teknologi AI Premium, Telefon Pintar Dengan Harga RM2,000 Ini Kini Jadi Pilihan Ramai

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Chubb E Terbuka Dengan Filem AI, Tak Kisah Jika Ada Yang Menolak – ‘Kena Ada Orang Cuba Teknologi Ini’

Filem buatan AI

Filem arahan Fazli Yasin itu kini dalam usaha mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Filem Cereka Penuh AI Pertama Untuk Tayangan Pawagam Malaysia’.

Menariknya, keseluruhan proses pembangunan filem berkenaan daripada peringkat konsep sehingga ke tayangan berjaya disiapkan dalam tempoh kurang daripada setahun.

Menurut ILM, tempoh tersebut menjadi antara bukti kemampuan sistem produksi berasaskan AI yang dibangunkan mereka khususnya dalam menghasilkan sebuah filem cereka penuh dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah produksi tradisional.

Walaupun teknologi AI digunakan sepanjang proses pembikinan, setiap keputusan berkaitan hala tuju kreatif serta hasil akhir filem masih dikawal dan disemak oleh pasukan manusia.

Menerusi filem Siluman: Dendam Harimau Jadian, watak harimau jadian menjadi tunjang utama penceritaan, selain projek itu turut dijadikan sebagai platform untuk menguji keupayaan sistem produksi berasaskan AI yang dibangunkan ILM.

Teknologi berkenaan digunakan dalam beberapa aspek termasuk pembangunan visual, kesinambungan karakter dan persekitaran, selain proses pascaproduksi bagi memastikan keseluruhan filem kekal tersusun serta mempunyai kesinambungan dari satu babak ke babak yang lain.

Difahamkan, proses sedemikian boleh mengambil masa sehingga bertahun-tahun untuk diselesaikan namun ILM mencapai keperluan tersebut dalam tempoh kurang daripada 12 bulan dengan penglibatan manusia pada setiap peringkat.

Bagaimanapun, ILM menegaskan bahawa projek Siluman: Dendam Harimau Jadian bukan bertujuan menunjukkan pembikin filem, pelakon atau tenaga profesional dalam industri tidak lagi diperlukan.

Sebaliknya, projek berkenaan dilihat sebagai satu usaha meneroka kaedah produksi baharu yang sedang berkembang seiring kemajuan teknologi, tanpa mengetepikan kemahiran dan amalan sedia ada dalam industri perfileman.

Menurut Fazli, penggunaan AI masih memerlukan pertimbangan manusia terutama dalam menentukan hala tuju sesebuah karya agar mesej dan penceritaan yang ingin disampaikan kepada penonton kekal jelas.

Menerusi projek ini, ILM berharap pengalaman yang diperoleh dapat menyumbang kepada perbincangan lebih luas mengenai potensi teknologi dan kreativiti dalam industri tempatan.