
Pengarah terkenal Korea Selatan, Lee Sang-hoon dengan kerjasama Malaysia dan Indonesia bakal hadir dengan sebuah filem berjudul Bluefish.
Kerjasama Malaysia, Korea & Indonesia

Filem ini merupakan hasil kerjasama tiga negara iaitu Jazzy Pictures (Malaysia), Oh’ Yes Corporation (Korea Selatan), dan Timeless Productions (Indonesia). Ia diterbitkan oleh Joanne Goh, pengasas Jazzy Pictures dan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest).
Bluefish dibintangi pelakon Korea Selatan Ji Seung-hyun yang pernah muncul dalam drama seperti Descendants of the Sun, Mr. Sunshine dan Good Partner, serta aktres Hong Kong Cecilia Choi sebagai watak utama wanita.
Filem ini mengisahkan Gwang-su, seorang lelaki dengan masa silam yang kelam, namun hidupnya mula berubah selepas bertemu Yeon-jeon, gadis bisu yang baik hati.
Perjalanan mereka membawa penonton menyelami kisah kebaikan dalam diam, salah faham dan perjuangan untuk berubah.
Menurut pengarah, Lee Sang-hoon, filem ini diinspirasikan daripada pemerhatiannya terhadap layanan masyarakat terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Orang kurang upaya tidak jauh bezanya dengan kita. Kehidupan, cabaran dan emosi mereka juga penuh warna dan sama manusianya.
Dia berharap Bluefish dapat mencabar persepsi masyarakat bukan dengan menggambarkan ketidakupayaan sebagai luar biasa atau tragis, tetapi sebagai sebahagian realiti kehidupan harian yang wujud di mana-mana, termasuk di Malaysia.
Semetara itu, Ji Seung-hyun selaku pelakon utama meluahkan rasa teruja untuk membawakan watak yang emosi dan agak mencabar kerana memerlukannya menggunakan bahasa isyarat.
Saya harap filem ini memberi harapan, cahaya dan keberanian kepada golongan OKU untuk menunjukkan bahawa mereka juga boleh hidup berdikari dan bermakna, sama seperti orang lain.
Sementara itu, penerbit Joanne Goh berharap agar filem ini mampu menembusi pentas antarabangsa memandangkan jalan ceritanya yang penuh pengajaran dan nilai murni.
Bila tengok saja skrip dan jalan ceritanya yang sungguh menarik, saya terus teruja untuk bekerjasama.
Ia bukan sekadar kisah biasa, tapi satu potret mendalam tentang insan-insan yang ‘patah’ mencari cahaya dalam tempat yang tak disangka,.
Dengan bajet sebanyak USD 1 juta, Bluefish kini dalam fasa pra-produksi dan dijadualkan menjalani penggambaran di Busan dan Yeongdeok, Korea Selatan bermula Oktober ini.
Tayangan dijangka pada tahun 2026 dan menyasarkan penyertaan di festival filem antarabangsa.







