
Selepas mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan, filem bergenre survival thriller, ‘Tiket Sehala’, akhirnya bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 6 Ogos ini.
Artikel Berkaitan: ‘Tiket Sehala’ Angkat Kisah Mangsa Scam Kerja Luar Negara, Gabung Pelakon Empat Benua
Artikel Berkaitan: Stacy & Akim, Thalita, Zaki Yamani Antara Barisan Artis Bakal Hangatkan Central Market Hujung Minggu Ini
Mengisahkan mangsa sindiket penipuan

Filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. ini mengangkat isu penipuan pekerjaan (Job scam) serta pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan, menerusi inspirasi daripada kejadian sebenar yang berlaku dalam masyarakat.
Naskhah yang diarahkan dan diterbitkan oleh Rahila Ali, ‘Tiket Sehala’ menampilkan gabungan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Proses penggambarannya filem ini berlangsung di Malaysia serta Korea Selatan dengan penglibatan tenaga kreatif daripada pelbagai negara.
Menurut Rahila, dia berasa lega dan bersyukur apabila bahan promosi awal filem tersebut iaitu teaser poster serta teaser trailer mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Apabila kami memuat naik teaser poster dan teaser trailer Tiket Sehala di media sosial, ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap visual dan lakonan para pelakon.
Saya amat menghargai setiap komen yang diberikan kerana ia menjadi pembakar semangat kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras menjayakan filem ini.
Filem ‘Tiket Sehala’ mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika cuba mencari peluang rezeki di Korea Selatan.
Selain itu, filem ini memaparkan perjalanan penuh debaran mereka apabila terperangkap dalam situasi yang tidak pernah dijangka, sekali gus menguji keberanian, harapan dan semangat untuk terus bertahan.
Situasi tersebut memaksa mereka berdepan pelbagai cabaran serta membuat keputusan sukar yang bakal mengubah kehidupan masing-masing.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ainee Mustafa dan Saha Champ.
Selain itu, filem ini turut menampilkan pelakon antarabangsa iaitu Hyunjun Suk dan Ha Ju Young dari Korea Selatan, Usadee Aphisit (Ninja) dari Thailand serta Naufal Samudra dari Indonesia.
Isu pemerdagangan manusia

Dalam pada itu, Rahila berpandangan bahawa, meskipun ‘Tiket Sehala’ mengetengahkan elemen mendebarkan menerusi genre survival thriller, dia berharap penonton dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan di sebalik jalan cerita filem tersebut.
Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar-benar berlaku dan kami cuba mengangkatnya dalam bentuk penceritaan yang mendebarkan.
Di sebalik ketegangan yang dipaparkan, ia juga membawa kisah tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.
Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari.
Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan lebih berhati-hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami.
Rahila turut berkongsi bahawa proses menghasilkan filem ini bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila sebahagian besar penggambaran dilakukan di Korea Selatan.
Jelasnya lagi, pasukan produksi perlu berdepan beberapa cabaran termasuk pengurusan permit, penyusunan logistik, keadaan cuaca serta perbezaan budaya kerja antara kru Malaysia dan Korea Selatan.
Sudah tentu ada perkara yang tidak berjalan seperti dirancang dan ada masanya kami terpaksa membuat keputusan dalam tempoh yang singkat.
Namun, bagi saya setiap cabaran adalah sebahagian daripada proses menghasilkan sesebuah filem.
Apa yang paling saya syukuri ialah komitmen seluruh pasukan produksi.
Tanpa usaha dan kerjasama mereka, filem ini tidak mungkin dapat disiapkan sehingga berjaya menemui penonton pada 6 Ogos nanti.
Sementara itu, Eddie Yap selaku Penerbit Eksekutif berkata, isu berkaitan penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia merupakan masalah yang masih berlaku di pelbagai negara, termasuk melibatkan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, Eddie berharap ‘Tiket Sehala’ dapat memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan yang mencurigakan.
Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
Tambah Eddie lagi, filem ini bukan sekadar menawarkan pengalaman tontonan yang penuh debaran, malah turut membawa peringatan bahawa setiap keputusan yang dibuat mampu memberi kesan besar terhadap kehidupan seseorang.
Dengan menampilkan gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa, lokasi penggambaran di dua buah negara serta mengangkat isu semasa yang dekat dengan realiti masyarakat, ‘Tiket Sehala’ bakal berada di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos ini.





![[VIDEO] Netizen Puji MUA Bellaz Hadiahkan Smiggle Untuk Rakan Sekelas Anak – ‘Dia Tahu Bukan Semua Ibu Bapa Mampu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/bellaz2.jpg)


