Nama Malaysia bakal ‘dibawa’ lebih jauh menerusi filem Arab, Wanted By Family yang bukan sahaja menjalani sebahagian besar penggambaran di negara ini, malah bakal ditayangkan di lebih 25 negara.

Artikel Berkaitan: Karim Abdel Aziz & Yasmine Sabri Berlakon Filem ‘Mr VIP’, Malaysia Dipilih Sebagai Lokasi Penggambaran

‘Wanted By Family’ penggambaran di Malaysia

Menurut penerbit dan ahli perniagaan kelahiran Iraq yang membesar di Malaysia, Abdulrahman Suud, keterujaannya terhadap filem berkenaan kini berganda apabila karya terbitan Inifinity Films bersama produksi mega negara Arab, Synergy Plus itu bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Macam saya tekankan dalam kenyataan sebelum ini, kecintaan saya terhadap Malaysia tiada kompromi. Sejak usia lapan tahun lagi saya datang ke Malaysia saat ibu bapa menerima tawaran kerja di ibu kota.

Bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia selain pernah menetap di Jepun dan India, bumi Malaysia sudah memahat rasa paling istimewa yang lahir tanpa prejudis.

Justeru, saya mahu usaha menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama syarikat penerbitan filem dan TV negara Arab akan mencipta kesinambungan.

Filem arahan Mootaz El Tomy itu dijadualkan ditayangkan bermula 8 Oktober depan dan bakal menemui penonton di lebih 450 pawagam di lebih 25 negara.

Pada awalnya dikenali dengan judul Mr VIP, filem berkenaan kini menggunakan tajuk Wanted By Family atau Matlob A’liliyan dalam bahasa Arab.

Lebih menarik, karya tersebut menampilkan dua bintang popular Arab iaitu Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri sebagai peneraju utama, selain pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater.

Antara negara yang bakal menayangkan filem ini termasuk Mesir, Qatar, Iraq, Oman, Lebanon, Kuwait, Bahrain, Syria, Maghribi, Algeria, Tunisia dan Jordan.

Tayangan turut merangkumi beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Kanada, Turki, Australia, United Kingdom, Ireland, Perancis, Sepanyol, Portugal, Itali, Jerman, Switzerland dan Sweden.

Tidak berhenti di situ, Wanted By Family juga dijadualkan menemui penonton di Poland, Belgium, Holland, Denmark, Netherlands, Norway, Luxembourg, Finland, Greece, Brazil dan Argentina.

Bincang dengan FINAS

Dalam masa sama, Abdulrahman sedang mengusahakan peluang untuk filem berkenaan turut ditayangkan kepada penonton tempatan dengan bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Untuk tayangan di Malaysia, pihak kami sudah menguruskan dokumen berkaitan dengan kerjasama serta bantuan FINAS. Pihak kami juga sudah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif organisasi berkenaan, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Ikut perancangan tayangan di Malaysia juga berkemungkinan besar dalam bulan sama. Semoga segala yang dirancangkan akan dipermudahkan.

Bukan sekadar menggunakan Malaysia sebagai latar, kira-kira 40 peratus penggambaran filem itu dilakukan di beberapa lokasi dalam negara.

Bagi Abdulrahman, peluang tersebut boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan wajah Malaysia kepada penonton antarabangsa, terutama menerusi lokasi ikonik yang dipaparkan sepanjang filem.

Kalau tonton treler filem ini, peminat Karim Abdul Aziz dan Yasmin Sabri khususnya akan ‘teracun’ untuk menjejaki lokasi dan destinasi menarik Malaysia yang dipaparkan. Malah nama Malaysia sendiri disebut berulang kali dalam filem ini.

Melihat ‘footage’ treler ini sendiri saya takjub melihat bagaimana tarikan bangunan pencakar langit seperti KLCC, Menara KL dan Bangunan Sultan Abdul Samad contohnya dipromosikan dengan begitu indah.

Itulah juga yang saya sasarkan dalam penerbitan filem sebegini. Malah saat ini, saya dalam rangka memulakan projek filem baharu dengan judul sementara, One Way Ticket di Malaysia membabitkan lokasi lain di negara ini.

Sebelum ini, penggambaran filem yang mengambil latar Malaysia itu mula mendapat perhatian media pada Julai lalu.

Produksi berkenaan turut mendapat sokongan kerajaan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Agensi Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menariknya, pembikinan filem itu turut membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan apabila menggunakan khidmat 220 kru Malaysia.

Selain itu, seramai 33 kru termasuk barisan artis dari Mesir turut terlibat dalam menjayakan produksi berkenaan.