Sejak kerajaan umumkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), banyak spekulasi dan salah faham yang timbul. Ada yang kata ia ancaman kepada Tanah Rizab Melayu, ada yang takut rumah mereka akan dirampas, malah ada juga yang fikir PSB ni sebenarnya cubaan kerajaan pusat nak ambil kuasa negeri.

Tapi, kalau kita betul-betul faham isi sebenar PSB, kita akan nampak bahawa semua dakwaan tu tak berasas. Hakikatnya, PSB diwujudkan untuk melindungi rakyat bandar dan membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk hidup dengan lebih baik, selesa dan bermaruah. Ayuh, kita bongkarkan satu persatu.

Pemilik Asal Tidak Akan Terpinggir, Malah Dapat Lebih Baik!

Salah satu mitos paling popular ialah kononnya pemilik asal akan hilang hak bila projek PSB dilaksanakan. Sebenarnya, pemilik asal dijamin akan kembali ke kediaman baru selepas projek siap.

Bezanya dengan sistem lama, pampasan kali ini lebih menyebelahi rakyat. Dulu, pampasan hanya ikut harga semasa. Contohnya, kalau rumah lama korang bernilai RM200,000, maka pampasan pun sekitar nilai tu. Tapi dengan PSB, pampasan akan ambil kira nilai masa hadapan.

Maksudnya, rumah baru yang korang dapat bukan sekadar setara, malah boleh jadi lebih luas, lebih moden, ada kemudahan lengkap, dan nilai pasaran yang lebih tinggi. Ia bukan “kehilangan”, tapi sebenarnya naik taraf kehidupan. Menarik bukan?

Kuasa Negeri Tidak Dicuit, PSB Sekadar Jadi ‘Penyelaras’

Ada juga yang takut PSB ni kononnya nak ambil kuasa kerajaan negeri dalam urusan tanah. Sebenarnya, kuasa negeri tetap kekal macam biasa.

Undang-undang sedia ada seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Kanun Tanah Negara masih berfungsi sepenuhnya. PSB tidak menggantikannya. Apa yang PSB buat hanyalah menyediakan kerangka penyelarasan supaya proses pembangunan bandar jadi lebih:

  • Teratur
  • Cepat
  • Jelas untuk semua pihak

Kalau sebelum ni banyak projek terbengkalai berikutan prosedur berlapis dan lambat, PSB datang untuk mudahkan urusan dan bukannya untuk merampas kuasa sesiapa.

Jalan Penyelesaian Untuk Flat Lama Dan Projek Terbengkalai

Kalau kita jalan-jalan sekitar bandar besar, memang banyak flat lama yang makin uzur, bocor sana sini, lif rosak, cat lusuh. Malah, ada projek perumahan yang terbengkalai sampai bertahun-tahun.

Inilah masalah sebenar yang nak diselesaikan dengan PSB!

Melalui kerangka ni, komuniti bandar yang sebelum ni tersepit dalam keadaan rumah lama yang tak selamat akhirnya boleh nikmati rumah baru yang lebih berkualiti, lebih selesa dan lebih bermaruah.

PSB bukan sekadar mengenai bangunan malah, mengubah kehidupan keluarga bandar supaya mereka ada peluang untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

108 Sesi Libat Urus Telah Diadakan Namun Tiada Wakil Pembangkang Yang Hadir

Satu lagi fakta yang ramai tak tahu, kerajaan sebenarnya dah buat 108 sesi libat urus dan penerangan dengan semua pihak berkepentingan. Malah, ahli Parlimen pembangkang pun dijemput untuk sertai lawatan tapak supaya mereka nampak sendiri realiti di lapangan. Tapi sayangnya, tak ada seorang pun yang hadir.

Walaupun begitu, kerajaan masih pilih jalan dialog, rundingan dan keterbukaan. PSB bukan benda yang dibuat secara senyap-senyap, tapi dibincangkan secara terbuka dengan banyak pihak.

Tidak dinafikan, bila ada undang-undang baru, memang akan ada banyak spekulasi dan ketakutan. Tapi dalam kes PSB ni, realitinya ia bukan ancaman, sebaliknya satu peluang.

PSB adalah jalan untuk rakyat bandar memiliki kehidupan yang lebih baik tanpa menjejaskan hak pemilik asal dan tanpa mengganggu kuasa negeri.