Seorang gadis termakan umpan ejen tawaran biasiswa palsu yang meletak syarat pemohon biasiswa mesti menghantar gambar bogel sebagai syarat wajib permohonan.
Pemeriksaan fizikal dalam talian
Memetik laporan Harian Metro, gadis berusia 19 tahun itu diugut video bogel miliknya disebarkan sekiranya tidak memasukkan RM1,000 ke dalam akaun bank seorang lelaki selepas membuat permohonan biasiswa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, terdahulu mangsa berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Telegram yang menawarkan biasiswa untuk mangsa melanjutkan pelajaran.
Katanya, menuruti syarat permohonan, mangsa perlu menghantar beberapa dokumen, selain juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan fizikal secara dalam talian.
Mangsa juga perlu memuat naik gambarnya berpakaian dan tidak berpakaian iaitu video dalam keadaan berbogel.
Selepas itu, mangsa diminta memasukkan wang RM600 ke dalam satu akaun sebagai wang proses pinjaman dan mangsa mematuhi semua arahan berkenaan.
Tambah Ismail, mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengugut akan menyebarkan video bogel yang dihantar itu sekiranya tidak memasukkan RM1,000 dalam akaun bank yang diberikan.
Mangsa yang menyedari ditipu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada Ahad lalu sebelum lelaki berkenaan yang berusia 30 tahun berjaya diberkas semalam untuk siasatan lanjut.
Sumber: Harian Metro