Sekolah merupakan tempat seseorang itu menimba ilmu dan belajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Seorang guru diibaratkan sebagai sebatang lilin yang akan membakar dirinya demi membantu anak muridnya untuk berjaya.
Namun, ini kisah yang berlaku di Sichuan, China, apabila seorang guru subjek matematik bertindak mendenda pelajarnya secara melampau kerana salah menjawab 2 soalan.
Sempat beli bunga
Foto: Oriental Daily
Sebelum kejadian berlaku, pelajar tersebut Ning Ning yang berusia 10 tahun, sempat membeli bunga untuk dihadiahkan kepada gurunya iaitu Wang bagi meraikan sambutan Hari Guru yang disambut pada setiap 10 September di China.
Namun, ketika berada dalam kelas matematik Ning Ning telah membuat 2 kesilapan ketika menyelesaikan soalan matematik. Guru tersebut Wang, bertindak menyuruh Ning Ning berdiri di atas podium, menarik telinganya, memukul kepalanya dan menampar tangannya.
Tidak mampu angkat kepala
Foto: Oriental Daily
Menurut saudara kembarnya Qian Qian, yang turut berada di dalam kelas yang sama, adiknya tidak mampu mengangkat kepala selepas didenda oleh gurunya.
Pada pukul 11 pagi, guru tersebut bertindak untuk menelefon nenek Ning Ning, dan meminta supaya Ning Ning dibawa pulang untuk berehat. Menurut neneknya, Yang Yuqing, semasa dia berjumpa dengan cucunya, Ning Ning sudah tidak mampu bercakap dan membuka kedua matanya.
Namun setelah tibanya di hospital nyawa Ning Ning tidak berjaya diselamatkan walaupun sudah menjalankan beberapa prosedur bagi menyelamatkan nyawanya. Menurut Yang Yuqing, Ning Ning pernah mengadu takut untuk memasuki kelas matematik tersebut kerana sikap gurunya yang suka memukul dan mendenda orang.
Sumber: Oriental Daily