Selain masalah pengangguran, satu lagi masalah yang melanda rakyat malaysia selepas fasa pandemik adalah kenaikan harga barangan harian, khususnya harga bahan mentah.
“Dah lah harga barang meningkat, gaji pun tak naik-naik”. Ini antara keluhan ramai yang sering didengari dari mulut rakyat Malaysia kini.
Peningkatan ini sekaligus memberi tekanan kepada rakyat, sekaligus menjadikan kos sara hidup juga meningkat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Peka dengan masalah tersebut, berkuat kuasa 1 Mei lalu, kerajaan dengan inisiatif Keluarga Malaysia telah meningkatkan gaji minimum dari RM1200 kepada RM1500.
Perlaksaan ini juga disambut baik oleh ramai orang dan menerima pelbagai reaksi dari rakyat yang menerima manfaatnya.
“Bagi fresh graduate yang baru bekerja, cukup untuk nak survive” – Farah, 23
Jelas Nurfarah Salbila Omar yang bekerja sebagai pembantu tadbir, kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 ini sedikit sebanyak memberikan sedikit kelegaan kepadanya.
“Nampak macam sikit, tapi sebenarnya cukup buat saya yang baru nak memulakan kehidupan. Saya bersyukur dan dalam masa yang sama lega. Dengan kenaikan RM300 ni, bolehlah saya guna untuk saving sedikit dan membayar ansuran motosikal setiap bulan. Lebih mudah nak pergi kerja,” katanya.
“Tak banyak tapi sangat membantu” – Asyraf, 28
Manakala bagi Mohd Asyraf Wazir yang bekerja sebagai eksekutif jualan pula, pelaksanaan kenaikan gaji ini memang menjadi berita gembira buatnya.
“Walaupun kami suami isteri bekerja, namun gaji kami berdua hanya sekadar cukup untuk membayar sewa rumah, kereta, barang dapur dan komitmen bulanan. Bila ada kenaikan ni, ringan sikit beban dan bolehlah tampung keperluan harian isteri dan anak”
Untuk pengetahuan semua, terdahulu, Malaysia merupakan antara negara di kedudukan tercorot di peringkat negara-negara ASEAN dalam pemberian gaji minimum sebanyak RM1200, menjadikan negara berada di belakang tiga negara jiran kita iaitu Filipina, Indonesia dan Thailand.
Setelah pengumuman kenaikan gaji yang dibuat oleh Perdana Menteri pada Mei lalu, Malaysia kini berada di kedudukan tertinggi berbanding negara-negara serantau.
Mendengar keluh kesah rakyat, Ismail Sabri menjelaskan bahawa perlaksanaan tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup yang kian meningkat, terutamanya bagi golongan B40. Beliau juga berharap supaya hasil usaha keras kerajaan ini di bawah pimpinannya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung rakyat.
Rujukan:
1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/902239/bukti-keprihatinan-kerajaan