Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah berjaya menganjurkan sebuah sesi inspirasi dan persembahan eksklusif menerusi acara Game Changers: Antara Budaya dan Sukan, yang menghimpunkan barisan ikon negara daripada dunia sukan dan seni dalam satu pentas.

Artikel Berkaitan: Harian Metro Anjur Batik Run, Suntik Kesenian & Kekal Aktif

Atlet & artis

Acara ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Bin Othman, disaksikan oleh Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Penasihat Game Changers UKM, Prof Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad, serta Pengarah Projek, Muhammad Hazam Hajanan.

Bertemakan ‘Dari Gelanggang ke Panggung Dunia: Cerita Budaya dan Sukan Malaysia’, acara ini mengetengahkan peranan atlet dan artis sebagai duta budaya yang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi komunikasi rentas budaya dan semangat nasionalisme yang tinggi.

Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad, selaku pensyarah kursus dan penasihat program berkata Program Game Changers ini lahir dari inisiatif dan kreativiti pelajar sarjana kursus Seminar Komunikasi Antarabudaya, Pusat Kajian Media dan Komunikasi, FSSK UKM.

Setelah perancangan penuh teliti, Alhamdulillah pelajar berjaya mempraktikkan apa yang dibelajar di dalam kuliah ke dalam sebuah program yang menyatu-padukan artis dan ahli sukan dalam satu platform untuk berbincang tentang isu identiti dan budaya berdasarkan pengalaman antara budaya mereka. 

Program ini berjaya mendedahkan mahasiswa tentang kepentingan komunikasi antara budaya dalam kehidupan serta mendalami pengalaman ahli sukan dan artis memartabatkan budaya dan negara.

Tokoh sukan negara

Game Changers telah direalisasikan sepenuhnya oleh pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi UKM sebagai sebahagian penilaian bagi Kursus Seminar Komunikasi Antarabudaya dan menjadi medan penggabungan teori akademik dengan pelaksanaan sebenar dalam pengurusan acara serta komunikasi strategik.

Antara tokoh sukan negara yang dijemput sebagai panel ialah Al Jufferi Jamari (Silat), Norshahrul Idlan Talaha (Bola Sepak), Adli Hafidz ‘Golden Boy’ (Tinju), Amisha Azrilrizal dan Ali Yaakub (Muay Thai) serta Sharul Aimy (Gimnastik). Mereka berkongsi pengalaman mendalam tentang cabaran penyesuaian budaya, komunikasi dengan jurulatih asing serta strategi membina jaringan dalam karier antarabangsa.

Game Changers turut diserikan dengan persembahan eksklusif oleh barisan artis ternama tanah air iaitu Noraniza Idris (Ratu Irama Malaysia & Etnik Kreatif), Mawi (Juara Akademi Fantasia) dan Tomok (Ikon Pop & vokalis New Boyz). Selain persembahan, Mawi dan Tomok turut berkongsi pandangan serta pengalaman mereka dalam dunia seni daripada era realiti TV hingga ke pentas profesional yang telah mengubah landskap hiburan tempatan.

Acara dikendalikan oleh Andy Reza Rohadian (Personaliti RTM) manakala sesi inspirasi dikemudi oleh penyampai radio ERA Isha Norsham.

Secara keseluruhan, Game Changers memberi penekanan kepada kepentingan komunikasi rentas budaya sebagai kemahiran penting abad ke-21 yang bukan sahaja relevan dalam bidang sukan dan hiburan, tetapi turut merentas semua sektor kerjaya.

Acara ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang realiti komunikasi antarabangsa, memberi inspirasi melalui kisah sebenar tokoh-tokoh negara serta memperkukuh identiti dan jati diri rakyat Malaysia di peringkat global.

Acara ini turut menerima sokongan daripada rakan industri seperti ICON Entertainment by Iman Tang, Sinar Harian, Astro Gempak, ERA FM serta Tenera Hotel & Suites.

Untuk info lanjut dan sorotan acara, ikuti laman rasmi Instagram: @gamechangers_ukm