berita

Ganggu Teman Wanita Punca Tikam Rakan Sampai Mati, Tam Kini Diburu Polis

May 3rd, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Seorang lelaki warga Vietnam yang dikenali sebagai Tam diburu polis selepas disyaki membunuh rakan senegaranya hanya kerana berang teman wanita rakannya diusik di sebuah pusat hiburan di Taman Sri Kurau, Bercham, di sini, 18 April lalu.

Tikam rakan guna serpihan kaca

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan, pada awalnya, hanya berlaku pertengkaran mulut antara mangsa, Vo Thang Thong, 40, dengan suspek bersama lima rakan senegaranya namun pertengkaran itu berpanjangan sehingga suspek utama (Tam) menyerang mangsa menggunakan serpihan botol kaca.

Pertengkaran berlarutan sehingga ke parkir kenderaan berdekatan pusat hiburan sebelum mangsa kemudiannya disyaki ditikam menggunakan botol kaca di bahagian leher dan dada oleh suspek utama (Tam).

Susulan daripada itu, rakan suspek yang lain membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sehingga kini, suspek utama masih bebas manakala lima lagi yang ditahan termasuk dua wanita dibebaskan tanpa syarat selepas didapati tidak terbabit dalam pembunuhan tersebut.

Difahamkan, punca pembunuhan itu berlaku kerana mangsa dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan teman wanita salah seorang daripada enam lelaki kumpulan warga asing itu.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S Dasarathan di talian 012-5644484 atau mana-mana balai polis berhampiran. Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penama ini supaya tampil membantu polis.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×