berita

Gara-Gara Potong Barisan Semasa Keluar Simpang, Lelaki Ini Teruk Dibelasah

June 22nd, 2019 | by Amirul Asraf
Video Popular

Baru-baru ini, video dua orang individu bergaduh di hadapan deretan kedai di Jalan Dataran Cheras 2, Kuala Lumpur, telah tular di media sosial. Menerusi laporan Astro Awani, seorang lelaki berusia 44 tahun, telah berjaya ditahan oleh pihak polis di Batu 9, Cheras, semalam ekoran pergaduhan tersebut.

Tidak berpuas hati

Menerusi perkongsian video Community Policing Bandar Sungai Long, lelaki tersebut dipercayai tidak berpuas hati apabila mangsa cuba memotong barisan semasa keluar dari simpang jalan. Video berdurasi 2:33 itu menunjukkan suspek memukul mangsa tanpa henti apabila masing-masing memberhentikan kereta mereka di tengah jalan.

Mengaku bersalah

Menurut Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof, suspek mengaku bersalah mengenai kejadian itu. Tambahnya, kejadian tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hatinya terhadap mangsa yang cuba memotong barisan semasa keluar simpang.

Sehubungan itu, Ahmad Dzaffir turut memberitahu bahawa mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, badan serta patah pergelangan tangan. Mangsa juga dipercayai mengalami keretakan pada tulang muka dan hidung akibat dipukul oleh suspek. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323/160 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dan gaduh gempar.

Sumber: Astro AwaniCommunity Policing Bandar Sungai Long