Seorang lelaki ditahan polis selepas didakwa membunuh isterinya hanya kerana diminta untuk memulangkan semula wang yang dipinjam berjumlah Rp50 ribu bersamaan RM13.
Ambil wang simpanan isteri tanpa izin
Kejadian ngeri yang berlaku di Acheh, Indonesia itu dipercayai berpunca selepas suspek, 48, mengambil wang berjumlah Rp50 ribu (RM13) daripada almari tanpa pengetahuan isterinya, 49.
Suspek kemudian menggunakan wang tersebut untuk membeli rokok dan mengisi minyak sebelum berangkat ke kebun jagung untuk bekerja. Sekitar waktu Zuhur, suspek telah pulang ke rumah untuk makan tengah hari sebelum kembali semula ke kebun.
Namun tidak lama selepas itu, mangsa baru menyedari bahawa wang simpanannya telah ‘hilang’, dan dia telah ke kebun untuk bertanyakan kepada si suami.
Suspek janji nak bayar balik
Suspek kemudian mengaku telah mengambil wang tersebut dan berjanji akan menggantikannya. Tetapi lain pula yang jadinya apabila wanita itu mula bertindak agresif dengan memukul dan menggigit tangan suaminya.
Berang dengan tindakan si isteri, suspek mencapai sebilah pisau yang terselit pada dinding pondok sebelum menikam mangsa di bahagian dada.
Tidak terhenti di situ, suspek kemudian mengambil seketul batu lalu memukul kepala mangsa sebanyak dua kali sehingga dia tidak sedarkan diri.
Menyedari isterinya itu sudah tidak bernyawa, suspek kemudian menyerah diri di balai polis.
Sumber: Bicara Indonesia