Buasir atau hemorrhoids (hemoroid) ialah keadaan apabila salur darah di bahagian dubur dan rektum membengkak, menyebabkan ketidakselesaan serta kesakitan. 

Gejala buasir

Tak dinafikan, ramai yang malu untuk membincangkan isu ini, tetapi mengenali gejalanya lebih awal dapat mencegah komplikasi yang lebih serius.

Buasir terbahagi kepada dua iaitu dalaman dan luaran. Buasir dalaman berlaku di dalam rektum, biasanya tidak sakit tetapi boleh menyebabkan pendarahan. Manakala buasir luaran muncul di luar dubur dan boleh menyebabkan gatal, sakit serta pendarahan.

Berikut ialah gejala-gejala buasir antaranya ialah:

1. Pendarahan Ketika Membuang Air Besar

Salah satu tanda paling biasa ialah darah merah terang pada tisu tandas, di permukaan najis, atau menitis ke dalam mangkuk. Pendarahan ini biasanya tidak disertai kesakitan, tetapi jika kerap berlaku, ia boleh menyebabkan kurang darah (anemia).

2. Benjolan atau Ketulan di Bahagian Dubur:

Individu mungkin terasa atau terlihat benjolan kecil di sekeliling dubur, terutamanya ketika atau selepas meneran. Benjolan ini adalah salur darah yang membengkak dan ia boleh menjadi lebih besar jika tidak dirawat.

3. Sakit atau Rasa Pedih di Kawasan Dubur

Buasir luar (external hemorrhoids) lazimnya menyebabkan kesakitan, terutama ketika duduk lama atau ketika membuang air besar. Kadang-kadang, darah beku boleh terbentuk di dalam buasir, menyebabkan sakit yang lebih tajam dan ketara.

4. Gatal-Gatal & Ketidakselesaan Sekitar Dubur

Kerengsaan kulit berlaku apabila mukus dari buasir mengalir keluar dan menyebabkan kegatalan. Rasa tidak selesa ini boleh berterusan sepanjang hari dan membuatkan seseorang kerap menggaru, yang akhirnya menambahkan keradangan.

5. Rasa Tekanan, Penuh atau Tidak Lega

Sesetengah pesakit merasakan seolah-olah ada sesuatu ‘tersangkut’ di bahagian bawah walaupun sudah membuang air besar. Ini berlaku kerana bengkakan memberi tekanan pada saluran dubur.

Anda harus mendapatkan rawatan segera jika mengalami pendarahan yang berulang atau tidak berhenti, kesakitan yang teramat, buasir yang tidak masuk semula selepas ditolak perlahan dan najis menjadi sangat gelap atau berdarah banyak.

Sumber: Public Health Malaysia, Hello Doktor