
Festival Aidilfitri pertama yang diadakan di lokasi tertinggi Putrajaya bakal mencipta kelainan tersendiri apabila Gema Raya Putrajaya 2026, menampilkan konsep yang unik serta barisan artis popular tanah air, sekali gus menjadikannya antara festival Ramadan Raya paling dinantikan tahun ini.
Artikel Berkaitan: Rayme Zainal Fokus Bidang Penganjuran Acara, Gema Raya Putrajaya 2026 Jadi Penanda Aras Baharu
Artikel Berkaitan: Rayme Zainal Anjur Festival Raya Terbesar Di Puncak Putrajaya Pada Februari 2026
Menarik lebih ramai pengunjung

Festival yang dijadualkan berlangsung dari 15 Februari sehingga menjelang malam Aidilfitri ini, akan diserikan dengan persembahan artis terkenal seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi, dan Nabila Razali, yang dijadualkan membuat persembahan pada hujung minggu tertentu.
Menariknya, kesemua penyanyi tersebut pernah mencipta nama sebagai finalis di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
Gema Raya Putrajaya 2026 turut dimeriahkan oleh Bella Astillah, selain menampilkan bakat baharu seperti Didie Shazry, juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia, serta kumpulan Alpha yang terbentuk melalui program Big Stage Alpha.
Menurut Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal, berkata, kehadiran artis-artis ternama ini diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung, sekaligus merancakkan aktiviti membeli-belah sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.
Katanya lagi, pemilihan artis bertaraf A yang telah meraih pelbagai pengiktirafan dilihat sebagai penanda aras penting bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan penganjuran Gema Raya Putrajaya pada masa hadapan.
Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua pihak terutama kepada usahawan yang berniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Rayme turut menjelaskan bahawa kelainan utama Gema Raya Putrajaya 2026 bukan sekadar pada elemen hiburan, tetapi turut diperkukuh dengan konsep iftar dan moreh di puncak bukit, yang diperkenalkan untuk menawarkan pengalaman berbuka puasa yang lebih santai dan eksklusif.
Pengunjung bukan sekadar datang membeli-belah atau menonton persembahan artis, tetapi turut berpeluang menikmati suasana iftar dan moreh secara santai di atas puncak bukit, sambil menikmati panorama indah Putrajaya.
Konsep ini memberi ruang kepada pengunjung untuk berehat, ‘healing’ dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan-rakan.
PICC, fasiliti antarabangsa

Tambah Rayme, pemilihan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai lokasi utama adalah kerana fasiliti bertaraf antarabangsa yang ditawarkan, ruang dalaman berhawa dingin yang luas, serta kawasan luar yang sesuai untuk konsep santai dan aktiviti berbuka puasa.
Dalam pada itu, festival ini juga berperanan sebagai platform strategik bagi artis mendekati peminat dalam suasana bulan Ramadan dan bulan Syawal yang lebih bermakna.
Selain itu, Gema Raya Putrajaya 2026 dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group, serta mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Festival ini menggabungkan elemen keusahawanan, seni dan budaya, program kerohanian, serta inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor dan sasaran kehadiran sehingga 800,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.
Mengulas perkembangan terkini, Rayme memaklumkan bahawa lebih 150 lot niaga telah habis terjual sejak jualan dibuka pada Disember lalu, dan baki lot dijangka akan habis dalam masa terdekat, sekali gus menafikan dakwaan bahawa bazar Aidilfitri tahun ini kurang mendapat sambutan.
Ujarnya lagi, pihak Raydiates kini giat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta, dan yayasan sebagai rakan strategik serta penaja program.
Nama Raydiates yang ditubuhkan pada tahun 2023 kini mula menempa kepercayaan apabila diberi peluang mengendalikan beberapa acara besar melibatkan sektor kerajaan dan swasta.
Sebagai rekod, Raydiates sebelum ini pernah mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal sempena Festival Ramadan Putrajaya 2025, yang berjaya menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang 32 hari penganjuran.
Kejayaan itu turut memberi pulangan lumayan kepada para peniaga apabila beberapa lot gerai dilaporkan mencatatkan jualan mencecah RM100,000, sekali gus menjadikan Anjung Syawal antara destinasi utama persiapan Aidilfitri di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut berkaitan pengisian acara, jadual persembahan artis, penyertaan vendor serta pelbagai aktiviti menarik sepanjang Gema Raya Putrajaya 2026, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.klramadanfestival.com.my.





![[VIDEO] ‘Teguran Kepada Azad, Carilah Konten Patuh Syariah & Beradab..Halal, Haram Jangan Dibuat Gurauan’ – PU Syed](https://asset.ohbulan.com/2026/07/aufMf27t-pu-syed.jpg)

