Penyanyi, Aisha Retno, meluahkan rasa gembira apabila menjadi artis tempatan terbaru menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat sempena kempen EQUAL oleh Spotify.
Pencapaian paling terbesar
Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata pencapaian itu paling terbesar buat dirinya setakat ini setelah berkecimpung dalam bidang seni lebih daripada dua tahun.
Untuk mendapat pengiktirafan itu, memang terlalu besar maknanya buat saya. Biasanya yang mendapat peluang itu adalah artis bernama besar termasuk Tokti, Aina Abdul, dan Dolla.
Aisha, turut berterima kasih kepada pihak pengurusan serta label rakaman yang merealisasikan hal itu.
Semestinya pencapaian ini membuatkan saya mahu terus hasilkan banyak lagu berkualiti pada masa akan datang. Saya tidak mahu sekadar suka-suka saja. Sebaik pengurusan berkongsi berita ini pada pagi tadi, saya tak dapat menahan emosi. Inilah yang saya harapkan dalam kerjaya seni iaitu terus mendapat pengiktirafan membanggakan. Ada juga pengurusan memberi bayangan kemungkinan wajah saya boleh terpampang di sana. Namun saya enggan menaruh harapan sangat kerana saya pun tahu bukan mudah untuk mendapat slot itu. Syukur juga Spotify menjadi platform yang berjaya realisasikan impian saya itu.
Terdahulu, lagu W.H.U.T nyanyian Aisha berjaya meraih penstriman lebih 30 juta di Spotify. Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah buat Aisha di atas kejayaan tersebut.
Sumber: Aisha Retno