Pihak produksi, Global Station tampil memberikan maklum balas berhubung isu melibatkan pelakon yang sedang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.

Artikel Berkaitan: Zarif Ghazzi Nafi Dakwaan Salah Laku, Laporan Polis Sudah Dibuat – ‘Serahkan Kepada Pihak Berkuasa’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Puteri Balqis Mohon Maaf Terlalu Beremosi, Pihak Produksi Jalankan Siasatan – ‘Terima Kasih Mendengar Suara Saya’

Global Station bersedia beri kerjasama

Menerusi satu kenyataan media, Global Station memaklumkan bahawa pihak mereka memandang serius perkara tersebut terutamanya apabila membabitkan keselamatan dan kebajikan individu yang terlibat sepanjang proses produksi.

Global Station maklum mengenai isu dan kebimbangan yang sedang diperkatakan di media sosial ketika ini.

Kami memandang serius aspek keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam produksi kami. 

Kami menghargai pihak yang tampil berkongsi dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap perkara ini.

Dalam pada itu, pihak produksi kini sedang mengambil langkah untuk mengenal pasti situasi sebenar yang berlaku. 

Malah, mereka akan mengambil tindakan yang adil dan sewajarnya selain bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan. 

Kami sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memahami keadaan yang berlaku dan akan bertindak secara adil dan bertanggungjawab terhadap sebarang perkara di bawah bidang kuasa kami.

Kami juga mengambil maklum bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini. 

Sebagai pihak penerbit, kami bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan bagi membantu sebarang siasatan yang dijalankan.

Pada masa sama, Global Station turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak yang terlibat.

Kami memohon agar orang ramai menghormati privasi semua pihak yang terlibat dan tidak membuat sebarang spekulasi selagi perkara ini belum mendapat penyelesaian. 

Kami juga menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau mengaitkan perkara ini dengan mana-mana individu.

Sebelum ini, pelakon Zarif Ghazzi menafikan dirinya terlibat dengan perbuatan salah laku seperti yang didakwa di media sosial. Malah pihak pengurusan aktor itu juga telah membuat laporan polis untuk menjalakan siasatan lanjut berhubung dakwaan tersebut.

Terdahulu, Puteri Balqis meluahkan rasa berang selepas didakwa menerima amaran daripada peminat seorang pelakon lelaki supaya tidak mendekati hero pujaan mereka.

Balqis kemudian mendakwa pernah diraba seorang pelakon lelaki ketika menjalani penggambaran drama.

Bagaimanapun, aktres itu tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan dalam hantaran berkenaan.

Namun, netizen mengaitkan perkongsian tersebut dengan peminat Zarif Ghazzi memandangkan kedua-duanya kini bergandingan dalam drama Dua Nyawa.

Sumber: Instagram