berita

Golongan Bujang Kena Ada RM1870 Sebulan Untuk Survive Di KL, Selangor

March 5th, 2019 | by Amirul Asraf
Kewangan & Pelaburan

Baru-baru ini kerajaan melancarkan Panduan Belanjawanku bagi memudahkan masyarakat memahami cara perbelanjaan dan penggunaan isi rumah yang kian kompleks.

Menerusi panduan belanjawanku yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setiap golongan masyarakat tidak kira bujang mahupun sudah berkahwin perlu mempunyai percaturan belanjawan yang baik bagi memudahkan urusan masa hadapan.

Objektif belanjawanku

Menerusi Harian Metro, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, belanjawanku ini mampu membantu rakyat negara ini dalam menguruskan kewangan mereka. Hal ini kerana, kadar keberhutangan yang tinggi serta masalah kebankrapan yang membimbangkan dalam kalangan belia.

Sejak tahun 2013 hingga 2017, seramai 100,610 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dan 60 peratus daripada mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun.

Bukan saja golongan belia yang menghadapi cabaran kewangan yang serius, malah bakal pesara juga perlu mengambil berat tentang rancangan perbelanjaan mereka.

Belanjawanku ini boleh membantu kita memahami kuasa membeli serta permarkahan kredit peribadi dengan mendalam. Bagi pembuat dasar pula, ia boleh dijadikan panduan untuk mengkaji garis kemiskinan sambil mereka mekanisme bantuan pendapatan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Manakala CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias berkata, belanjawanku membantu rakyat dalam membuat keputusan ketika berbelanja.

Belanjawan golongan bujang

Menurut laporan Belanjawanku, golongan bujang yang menetap di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1870 setiap bulan bagi menampung perbelanjaan mereka setiap bulan. Anggaran pendapatan yang diperoleh perlu dibahagikan kepada beberapa kategori antaranya, simpanan, makanan, penginapan dan kesihatan.

Manakala golongan bujang yang mempunyai kenderaan sendiri, mereka perlu memperoleh pendapatan yang lebih tinggi untuk menampung belanjawan mereka berbanding golongan bujang yang menggunakan kenderaan awam.

Belanjawan golongan yang sudah berkahwin

Bagi golongan yang sudah berkahwin, sudah pasti jumlah pendapatan dan belanjawan lebih tinggi dari golongan bujang. Bagi yang baru berkahwin dan tidak mempunyai anak, anggaran RM4420 sudah mencukupi.

Manakala, yang mempunyai anak seorang anggaran pendapatan yang diperlukan ialah RM5730 sebulan.

Pasangan yang mempunyai anak lebih dari seorang perlu mempunyai RM6620 bagi menampung belanjawan dan bagi warga emas pula, sekurangnya RM3090 perlu ada di dalam tangan untuk memastikan kehidupan mereka terjamin.

Sumber: Harian Metro & KWSP

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.