Sebelum ini seorang graduan perubatan dari Jordan, Mohd. Luqman Zulkepli didakwa atas pertuduhan muncikari atau menjadi bapa ayam. Dia didakwa menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara seorang perempuan dan lelaki di sebuah hotel.
Terbaru, rakan Luqman, Hilal Asyraf tampil menceritakan hal sebenar dan mahu membersihkan nama sahabatnya itu memandangkan kes ini telah pun digugurkan.
Wajah terpapar dalam akhbar
Tidak lama sebelum ini, media sosial pernah bergegar dengan berita berkenaan graduan perubatan Jordan yang ditangkap melakukan perbuatan muncikari (Bapa Ayam). Kes itu menjadi viral, sensasi dan menjadi sebutan ramai. Saya sendiri hairan, siapalah graduan tersebut, kerana tempat saya belajar ialah di Jordan.
Hanya ada satu universiti perubatan yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar Malaysia belajar di sana, iaitu Jordan University of Science & Technology (JUST). Alangkah terkejutnya, tak lama lepas saya menyiasat sedikit, gambar yang saya lihat ialah gambar sahabat saya, Luqman Zulkepli, terpapar.
Walaupun belum lagi disabitkan bersalah, tambah lagi Luqman telah membuat pengakuan tidak bersalah, wajah Luqman telah disebarkan akhbar-akhbar dan page-page media sosial. Akibatnya, Luqman menjadi bahan keji dan maki terlalu ramai orang. Wajahnya yang viral atas sebab yang busuk sebegitu, membuatkan hidupnya sedikit sebanyak terkesan.
Pasti dia diperangkap
Luqman sebenarnya kenalan saya selama empat tahun di Irbid. Saya pernah serumah dengannya semasa saya tahun satu di sana dahulu, dan kami sebenarnya pernah berusrah bersama-sama, berprogram bersama-sama.
Jadi saya memang ada kepercayaan bahawa Luqman tidak sesekali bersalah. Saya sangat kenal karakter Luqman. Pastinya dia diperangkap atau ada berlaku salah faham. Itu kata hati saya. Namun atas hormat kepada sistem perundangan kita, saya dan ramai rakan kami yang lain, menahan diri untuk bersuara dan menanti keputusan undang-undang.
Kes telah digugurkan
Alhamdulillah, kami mendapat khabar bahawa kini, kes terhadap Luqman telah pun digugurkan. Digugurkan bukan kerana kekurangan bukti. Tetapi digugurkan kerana tidak ada bukti untuk mensabitkan beliau dengan aktiviti muncikari (bapa ayam) yang terkutuk itu. Ini bermakna, sebagaimana jangkaan kami, Luqman memang tidak terlibat.
Pun begitu, berita pengguguran kes ini tidak kita lihat mendapat liputan akhbar-akhbar, page-page viral, terutama pihak-pihak yang telah mendedahkan wajah Luqman dengan ‘headline’ mengaitkannya sebagai Bapa Ayam yang terlibat dengan aktiviti pelacuran.
Di sini, saya sekadar laksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang kenalan, sebagai seorang sahabat, untuk membersihkan nama Luqman Zulkepli di media sosial ini.
Sumber: Hilal Asyraf