berita

Hafiz (AF7) Disaman RM200,000

August 1st, 2012 | by Ai
Isu & Kontroversi

Penyanyi Hafiz (AF7) yang popular dengan lagu Awan Nano hari ini di saman bekas pengurus pentas sebuah rancangan hiburan di Astro atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepadanya.

Nur Haniza Mohd Azhar, 25, selaku plaintif menamakan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, yang juga juara Akademi Fantasia ke-7, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,000.

Beliau memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Seksyen di sini, menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co.

Dalam pernyataan tuntutan, Nur Haniza mendakwa beliau didatangi Hafiz yang menepuk bahunya dari belakang lalu menyatakan hasrat untuk berjumpa dengannya secara paksa, dan ketika itu beliau sedang menjalankan tugas sebagai pengurus pentas bagi rancangan “Salih Yaacob Show” di Studio Filem Negara pada jam 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.

Menerusi tuntutan ini, Haniza turut mendakwa beliau menolak pelawaan Hafiz dengan baik, kerana ketika itu beliau sedang menjalankan tugas. Akan tetapi Hafiz tetap mendesak beliau bagi membincangkan mengenai sesuatu perkara.

Selain itu, Nur Haniza juga mendakwa ketika itu beliau sedang menuruni anak tangga studio untuk meneruskan tugasnya, bagaimanapun Hafiz telah bertindak agresif dengan menolaknya sehingga terjatuh dan tersungkur di hadapan rakan sekerja. Akibat daripada insiden tersebut, beliau dikatakan telah mengalami kecederaan di bahagian kaki dan mendakwa Hafiz sama sekali tidak membantunya.

Disamping itu, Haniza mendakwa beliau juga telah menyerahkan notis tuntutan bertarikh 25 Jun lepas untuk penyanyi ini memohon maaf dan membayar ganti rugi, akan tetapi Hafiz nafi telah mencederakan beliau.

Akibat insiden tersebut, Haniza turut mendakwa beliau kini masih lagi merasa sakit di bahagian kaki kanan dan beliau juga telah hilang mata pencarian kerana namanya telah disenarai hitamkan daripada bekerja untuk rancangan terbitan Astro.

Dengan ini, Nur Haniza telah menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi kehilangan aminiti, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

SKIP THIS AD ×