Malam penuh magis dan air mata. Itulah yang boleh digambarkan tentang konsert mega Hafiz Suip, Di Sebalik Aku, yang berjaya mengumpulkan lebih 3,500 peminat di Mega Star Arena, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan: Adira Suhaimi Lali ‘Dikenen’ Dengan Hafiz Suip – ‘Itulah Kehidupan Asam Garam Artis’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hafiz Suip & Adira Hanya Berkawan – ‘Masing-Masing Sudah Ada Kehidupan’

Setiap lagu ada cerita

Sejak lampu padam dan muzik mula bergema, aura Hafiz terus memenuhi ruang. Pentas dihiasi cahaya dramatik dan visual indah yang menggambarkan perjalanan 16 tahun penyanyi berkenaan dalam industri seni. Suara mantapnya disambut sorakan penonton yang tidak berhenti dari mula hingga akhir.

Hafiz membuka konsert dengan lagu Awan Nano sebelum menghangatkan suasana dengan deretan lagu hits yang menaikkan namanya seperti Matahari, Watak, Masih Jelas dan Noktah Cinta.

Setiap bait lagu disampaikan dengan penuh penghayatan, membuatkan penonton turut menyanyi bersama. Ada yang menitis air mata, ada juga yang tersenyum bangga melihat penyanyi kesayangan mereka berdiri megah di pentas.

Namun kemuncak paling menyentuh hati tiba apabila Hafiz mempersembahkan lagu Pelangi Petang nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Sebelum lagu bermula, montaj yang memaparkan Hafiz menjaga ibunya yang tidak sihat mula ditayangkan di skrin besar. Rakaman itu memaparkan kasih seorang anak yang setia menemani ibunya dalam keadaan berkerusi roda.

Saat montaj berakhir, suasana dewan bertukar senyap. Pintu di sisi pentas terbuka dan ibunya muncul di atas pentas, disambut dengan tepukan dan sorakan penonton.

Hafiz yang sedang menyanyi menoleh, memandang ibunya sambil menahan sebak. Air matanya jelas bergenang ketika dia terus menyanyi hingga ke bait terakhir.

Ramai penonton dilihat mengesat air mata. Momen itu menjadi detik paling menyentuh hati sepanjang malam dan meninggalkan kesan mendalam buat semua penonton yang hadir.

Aura tak pernah hilang

Persembahan Hafiz malam itu bukan sekadar menyentuh hati, tetapi juga membuktikan dia masih antara vokalis terbaik tanah air. Lagu-lagu seperti Bahagiamu Deritaku dan Yang Engkau Mahukan menyerlahkan kekuatan vokalnya yang tiada tandingan.

Medley Rindu Bayangan dan Kenangan Lalu membawa nostalgia, manakala Medley I Believe I Can Fly dan All of menunjukkan sisi antarabangsa Hafiz yang penuh karisma.

Antara kejutan besar malam itu ialah kemunculan Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment, yang berduet dengan Hafiz dalam lagu Ku Akui.

Suara kedua-duanya menyatu dengan harmoni dan berjaya membuat seluruh dewan berdiri memberikan tepukan gemuruh.

Turut memeriahkan konsert ialah Adira, yang kembali bergandingan dengan Hafiz menerusi lagu duet ikonik Takdir Tercipta, Untuk Cinta dan Ombak Rindu. Meskipun agak lama mereka tidak berduet, namun chemistry mereka berdua kekal kuat seperti dulu.

Sementara itu, Umai tampil menawan dengan persembahan lagu Muara Hati dan Salahkah bersama Hafiz, sebelum mempersembahkan lagu solonya Sayap yang mendapat tepukan padu daripada penonton.

Usai persembahan, Hafiz sempat meluahkan rasa syukur dan sebak.

Saya amat terharu. Setiap sorakan, tepukan dan nyanyian peminat memberi saya tenaga luar biasa. Malam ini akan saya ingat sampai bila-bila. Saya bernyanyi untuk mak saya dan untuk semua yang sentiasa menyokong saya.

Konsert Di Sebalik Aku bukan sekadar hiburan, tetapi satu perayaan kasih, dedikasi dan ketulusan seorang artis terhadap keluarga serta peminatnya.

Dengan muzik digerakkan oleh komposer tersohor Aubrey Suwito, suasana selesa dan mesra keluarga serta produksi mantap anjuran SAH Entertainment, konsert ini membuktikan mengapa nama Hafiz Suip masih kekal kuat di hati peminat selepas lebih sedekad dalam industri.