Penyanyi Hafiz Suip berpendapat setiap karya yang dihasilkan oleh mana-mana pihak perlu menjalani beberapa proses agar tidak menormalisasikan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Artikel Berkaitan: Hafiz Suip Kongsi Detik Awal Pengenalan, Dedah Arwah Ibu Jadi Pendorong Utama – ‘Fiona Tahu Nak Uruskan Saya’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Dengan Sekali Lafaz, Hafiz Suip Kembali Bergelar Suami

Hasilkan karya berkualiti

Ketika ditemui OhBulan!, Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 36, akui bidang nyanyian terbuka kepada mana-mana individu namun perlu menerusi pertimbangan menyeluruh.

Tambah Hafiz, dengan peningkatan penggunaan teknologi kini seperti AI dapat memberi kesan kepada industri tanah air.

Sebenarnya tak salah pempengaruh nak cuba bidang nyanyian.

Tapi tetap kena ikut proses, tak boleh sesuka hati, terutama dengan peningkatan trend penggunaan kecerdasan buatan (AI). Orang lama dalam industri boleh tahu keikhlasan sesebuah lagu.

Bagi pempengaruh atau artis baharu, lebih baik ikut garis panduan yang betul dan bincang dengan pasukan. Apa yang kita rasa baik, belum tentu orang lain rasa sama.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui di sidang media pelancaran lagu Yang Engkau Mahukan yang diadakan di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Ku Akui itu berpendapat setiap karya yang dihasilkan perlu mengambil kira kesesuaian serta penerimaan pendengar menerusi perbincangan teliti dan bukan bersandarkan keyakinan peribadi semata-mata.

Saya percaya sejak awal saya dalam industri, setiap lagu memang akan dirancang dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum dilancarkan.

Kita akan fikir kesannya serta pastikan lagu itu sesuai untuk penyanyi dan pendengar.

Masalah sekarang, ada yang terlalu yakin tanpa buat kajian mendalam. Mereka mungkin belum nampak kesan jangka panjang kepada industri kerana proses itu tidak diikuti dengan teliti.