Penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Haiza enggan melakukan gimik murahan demi untuk meraih perhatian ramai dalam masa singkat.

Artikel Berkaitan: Haiza Hanafi Ingat Pesan Rohana Jalil – ‘Jaga Penampilan, Walau Show RM500 Kena Presentable’

Tak suka cipta kontroversi

Menurut Haiza, dia selesa bersih tanpa sebarang kontroversi selama 30 tahun berkecimpung dalam industri seni.

Apabila orang kata saya dapat tepis segala cerita panas sedangkan saya bukan nak jadi individu yang penuh dengan cerita bukan-bukan.

Kalau tiada perhatian diberikan pun, saya okay saja sebab saya tak nak nama terpalit dengan cerita-cerita yang mengarut.

Selama ini saya cuba menjaga nama sebaik mungkin. Walaupun ada yang meminta saya untuk mencipta gimik, tapi rasanya tak perlu sampai ke tahap itu untuk dapat perhatian.

Haiza berkata demikian ketika sambutan ulang tahun ke-30 perjalanan kariernya yang diadakan di Geo Hotel, Genting Highlands, Pahang, pada Sabtu.

Lambat sebab ada kelas tambahan

Dalam pada itu, bercerita mengenai momen yang paling menyedihkan sepanjang menjadi anak seni, pemilik nama Rohaizah Nordin berkata dia pernah dicop sebagai artis tidak menjaga disiplin.

Dulu pernah keluar gosip di akhbar mengatakan saya tiada disiplin. Itu cerita yang paling menyedihkan sepanjang karier saya.

Kejadian itu berlaku ketika saya di bangku sekolah. Pada hari itu sepatutnya saya ke siaran langsung Muzik Muzik untuk mencalonkan single kedua berjudul Mana Tahan.

Tapi pada hari itu ada kelas tambahan. Selepas tamat kelas, saya terus bergegas ke studio di Jalan Liku, Bangsar.

Tapi jalan sesak sehingga menyebabkan saya terlepas untuk mencalonkan lagu itu. Hos memaklumkan saya tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Saya yang sudah berada di pintu studio menangis kerana kesal dengan apa yang terjadi.