berita

Hajat Bertelekung Putih Tak Kesampaian, Percutian Keluarga Bertukar Tragedi, 2 Beradik Lemas

September 2nd, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Siapa sangka percutian sebuah keluarga bertukar menjadi tragedi ngeri, apabila dua orang anak mereka ditemui lemas di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang semalam.

Menerusi laporan Harian Metro, anak kepada pasangan Mohd Zainal dan Jalina Jantan, iaitu Siti Nuralya, 11 tahun dan Muhammad Hafiz, 14 tahun, dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di muara sungai berkenaan.

Tabah menerima ketentuan Allah

Menurut Jalina, pada asalnya mereka sekeluarga bersama keluarga adiknya bercadang bercuti di Port Dickson. Namun, apabila tiba di persimpangan Lukut, Negeri Sembilan, suaminya telah mengubah fikiran untuk bercuti di Pantai Bagan Lalang, Sepang. Tambahnya, mereka tidak menyangka percutian tersebut bakal bertukar menjadi tragedi seperti itu. Namun, mereka tabah menghadapi ketentuan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Kami sekeluarga sedih kerana dalam satu hari berhadapan dua pengebumian anak dan saya juga berpesan kepada anak lain supaya tabah menerima ketentuan Allah SWT.

Minta belikan telekung baru

Di samping itu, Jalina turut berkongsi bahawa anak keenamnya iaitu Siti Nuralya, memintanya membelikan telekung baru bagi menghadiri program solat hajat di sekolah, iaitu beberapa hari sebelum tragedi lemas itu berlaku.

Anaknya itu juga, setiap kali solat akan bersujud lama dan bila disoal, dia memberitahu ustazah pesan minta doa supaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam ujian. Sebagai ibu, dia merasakan seolah-olah itu menjadi petanda bahawa anak perempuannya akan pergi buat selama-lamanya. Petanda tersebut turut dirasai bapa mangsa apabila anaknya benar-benar mahukan telekung putih yang baru.

Setiap kali solat, Siti Nuralya akan bersujud lama dan bila ditanya, dia memberitahu ustazah pesan suruh minta doa supaya kita dapat keputusan cemerlang 8A dalam UPKK. Ketika dia meminta belikan telekung, masa itu belum ada wang mencukupi dan insya-Allah selepas ini, saya akan tunaikan hajatnya sedekahkan telekung pada rakan baiknya.

Waktu itu, dia minta nak pakai telekung putih sedangkan kebiasaannya dia suka pakai telekung sedia ada dan saya tidak berasa pelik. Saya beranggapan itu perkara biasa bagi kanak-kanak untuk digunakan ketika solat.

Sikap jauhkan diri

Pada masa sama, Mohd Zainal berkata, seorang lagi anaknya yang lemas, Muhammad Hafiz pula menunjukkan sikap menjauhkan diri daripada ibu bapa sejak kebelakangan ini. Remaja terbabit yang juga anak kelima daripada lapan beradik sering mengelak daripada berjumpa dan berbual dengan dirinya dan isteri.

Saya rasa perkara itu biasa sahaja. Dia juga tidak pernah melakukan kesalahan terhadap ahli keluarga kerana Muhammad Hafiz mesra dengan kami dan suka membantu ketika di rumah.

Terdahulu, dalam kejadian 3.30 petang itu, Siti Nuralya dan Muhammad Hafiz mandi di muara berkenaan bersama dua orang sepupu dan dua adik-beradik mereka yang lain. Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang, Azrul Faizal Maarif, kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir ketika mandi di sungai berkenaan lalu dibawa arus dan ketika itu air mula pasang.

Sumber: Harian Metro & Berita Harian

SKIP THIS AD ×