berita

Hajat Ke Kenduri Aqiqah Tak Kesampaian, Lima Sekeluarga Maut, Kereta Langgar Lori Buah

December 20th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Kemalangan jalan raya memang seringkali berlaku di mana sahaja tanpa mengira waktu dan tempat. Saban hari, ada sahaja berita menyedihkan membabitkan kemalangan maut yang dilaporkan media di seluruh negara.

Terbaru, Harian Metro melaporkan seramai lima orang mangsa didapati maut selepas terlanggar belakang sebuah lori yang membawa muatan buah, awal pagi tadi.

Konvoi ke kenduri aqiqah

Apa yang menyedihkan, kelima-lima mangsa yang menaiki kereta Perodua jenis Myvi itu difahamkan sedang berkonvoi bersama dua lagi kenderaan untuk sebuah majlis aqiqah.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu adalah Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta empat penumpang kenderaan itu iaitu Jamilah Jalim @Jamil, 47, Bashirah Jalim @ Jamil, 49, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman, kereta yang dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kedah ke Shah Alam bagi menghadiri kenduri aqiqah anak kepada salah seorang mangsa, iaitu Jamilah.

Langgar lori buah

Jelas Azman, ketika kejadian berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbalik pada jarak kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Kemalangan lori terbalik itu menyebabkan trafik perlahan di lokasi. Difahamkan dua kenderaan yang berkonvoi bersama kereta Myvi berkenaan sudah melepasi laluan kemalangan itu.

Manakala kereta dinaiki lima mangsa terbabit yang berada di lorong kiri melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan buah yang sedang bergerak perlahan.

Mereka yang meninggal dunia adalah lima sekeluarga membabitkan pesara tentera, Mohamad Rodzi dan isterinya, Jamilah bersama anaknya, Nur Intan. Manakala dua lagi mangsa yang meninggal adalah kakak ipar kepada Mohamad Rodzi, Bashirah dan anaknya Nur Shifa.

Difahamkan urusan pengebumian kesemua mangsa akan dilakukan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk membawa balik jenazah ke Yan, Kedah, untuk dikebumikan.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×