Viral di media sosial apabila satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di Jalan Ion Delemen, Genting Highlands, Bentong, Pahang, semalam.
Menerusi laporan Harian Metro, runtuhan tersebut berlaku susulan hujan lebat di kawasan berkenaan. Hampir 200 orang kakitangan dan penghuni hotel dan pangsapuri di kawasan itu terperangkap selepas bencana alam tersebut berlaku.
Tidak membabitkan kemalangan jiwa
https://www.facebook.com/viviantokdj/videos/416952342585844/
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusry Abdullah Sani, beliau bersama 23 orang anggotanya dan termasuk dua jentera telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.20 petang. Tambahnya, hampir 200 orang terperangkap selepas berlaku insiden tersebut. Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku.
Kejadian ini tidak membabitkan kemalangan jiwa tetapi runtuhan itu menghalang laluan untuk ke hotel dan pangsapuri yang menggunakan laluan berkenaan dan ia tidak membabitkan laluan utama ke Genting Highlands. Buat masa ini, kontraktor sedang melakukan kerja pembersihan dan kita tidak pasti berapa lama tempoh diperlukan sebelum jalan itu boleh dilalui semula.
Manakala menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis, hujan lebat tanpa henti di kawasan tersebut berkemungkinan menyebabkan tanah menjadi rekah sehingga runtuh. Walaupun tidak ada kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda, Yusuf turut memberitahu bahawa pihak pengurusan hotel di kawasan berkenaan turut bersama membersihkan laluan yang terlibat.
Arus air dan tanah masih bergerak
Menerusi laporan Astro Awani, kesemua penghuni di kawasan tersebut bakal berdepan dengan risiko kerana masih terdapat pergerakan tanah. Pihak bomba dan penyelamat juga terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau setiap kerja-kerja pembersihan.
Mengenai kerja-kerja pembersihan oleh kontraktor, mereka disarankan berhenti jika terdapat pergerakan yang serius dan boleh mengancam nyawa. Sebarang kenderaan turut dilarang menggunakan laluan tersebut buat sementara waktu. Ini kerana, terdapat risiko juga bakal berlaku.
Sumber: Harian Metro & Astro Awani