Penyanyi Syafeek Ikhwan meluahkan segala isi hati dan kekecewaan yang dilaluinya sepanjang zaman percintaan menerusi lagu ‘Penunggu’.
Artikel Berkaitan: Tamat Kontrak Dengan Syarikat Rakaman, Syafeek Ikhwan Mahu Berevolusi Dalam Karya & Kreatif Corak Perjalanan Karier Seni
Artikel Berkaitan: Syafeek Ikhwan Tak Suka Orang Ungkit Soal Duit & Gelar Dirinya Bodoh – ‘Semua Orang Ada ‘Trigger Points’ Masing-Masing’
Artikel Berkaitan: ‘Pernah Alami Masalah Anxiety Sehingga Jumpa Psikiatri’ – Syafeek Ikhwan Mohon Masyarakat Bersifat Terbuka Mengenai Isu Kesihatan Mental
100 peratus mengenai diri saya
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Syafeek berkata, ‘Penunggu’ digubah olehnya dan Saifulazim, manakala lirik ditulis sepenuhnya oleh dirinya sendiri. Menurut Syafeek, lagu ini ditulis pada tahun 2020 selepas dirinya melalui satu fasa yang sukar dan menyakitkan dalam kehidupan.
Lirik ini memang berkenaan diri saya sendiri. Saya ditinggalkan tanpa sebarang warning. Tiba-tiba satu hari dia pergi macam itu sahaja sebab kami dalam hubungan jarak jauh.
Alasannya, ada orang lain yang lebih dekat dengan dia di sana. Dalam keadaan yang masih menyayangi sepenuh hati, saya terus menunggu setiap hari selama hampir dua tahun untuk dia kembali. Tetapi ia tidak berlaku.
Kesakitan yang saya rasa dan lalui waktu itu menyebabkan beberapa kali saya diserang panic attacked, ada ketika sukar bernafas sampai kena ke klinik untuk nebulizer. Fasa yang sangat sukar. Sebab itu saya tulis Penunggu. Secara ringkas Penunggu itu Syafeek.
Disoal mengenai cabaran menghasilkan lagu ini, Syafeek menjawab, ini kali pertama dia menghasilkan lagu untuk diri sendiri.
Saya tak pandai main alat muzik tapi saya suka memerhati, belajar sendiri daripada Youtube dan video yang saya tonton. Bila tak pandai main alat muzik, agak susah nak zahirkan bunyi yang ada dalam kepala.
Tapi syukur saya ada kenalan yang dah lama buat susunan muzik untuk saya. Jadi dia dah faham apa saya suka dan tak suka. Kami duduk sama-sama di studio dan saya hum, dia mainkan di keyboard. Saya memang nak terlibat daripada awal sampai akhir untuk lagu ini termasuklah susunan muzik.
Tambah Syafeek, dia mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan lagu ini. Ini kerana, banyak yang perlu diubah dari semasa ke semasa.
Lirik pun saya ubah lebih daripada lima kali sebab kadang-kadang idea lain muncuk. Tapi syukur sangat akhirnya Penunggu ini dah siap.
Ditanya pula mengenai muzik video, Syafeek secara ringkas menjawab buat masa ini masih belum ada muzik video untuk lagu tersebut.
Penunggu belum ada muzik video. Kami akan keluarkan official lirik video terlebih dahulu. Cuma yang berbezanya, lirik video ini ada montaj yang kami buat penggambaran di Bali, baru-baru ini.
Kena tengok nanti. Dari segi konsep pula, saya ada berbincang dengan beberapa orang rakan. Kami memilih laut sebagai latar belakang untuk ‘Penunggu’ sebab saya banyak luangkan masa di laut sepanjang usaha untuk memulihkan diri daripada kesakitan ini.
Lebih segar dan dramatik
OhBulan! sempat juga bertanya kepada Syafeek mengenai kesukaran yang dihadapi olehnya untuk mempromosikan lagu ini memandangkan dia sudah bergerak sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.
Ujar pemenang ‘Lagu Cinta Kita Musim Ketiga’ ini, sememangnya sangat mencabar buat dirinya untuk melakukan promosi lagu ‘Penunggu’ secara solo. Namun begitu, dia masih bersyukur kerana ada beberapa rakan yang sudi membantunya dalam menjayakan promosi lagu ini.
Sebelum ini semuanya diuruskan oleh syarikat rakaman. Tapi buat masa ini, saya lebih selesa buat sendiri. Tapi Alhamdulillah, pengedar Penunggu, Hotsound Record owned by rakan saya juga. Jadi InsyaAllah dengan bantuan dia, dan sikit pengalaman yang ada, kita boleh bawa Penunggu ke destinasi yang Syafeek harapkan. Yang penting, kena usaha.
Saya harap lagu ini disukai oleh pendengar. Saya yakin ramai boleh terima kerana melodi Penunggu ada vibes balada 90-an yang pendengar kita suka.
Tapi susunan muziknya lebih segar dan dramatik. Selain itu, lirik juga sangat rapat dengan pendengar di Malaysia.
Saya percaya ramai yang pernah atau sedang melalui fasa yang sama. Ditinggalkan tanpa sebab yang kukuh, tapi masih menunggu kerana rasa cinta dan sayang yang sangat utuh. Saya harap segala rasa yang dicurahkan dalam Penunggu akan sampai kepada pendengar.
Di akhir temu bual, Syafeek sempat berkongsi mengenai perancangannya selepas lagu ‘Penunggu’.
Kami sudah mula buat rangka untuk projek seterusnya. Proses menghasilkan lagu juga sudah bermula. Saya akan terlibat secara langsung juga dengan projek ini, juga bersama-sama Hotsound Record. InsyaAllah kali ini tak perlu tunggu sampai dua tahun lagi untuk dengar karya Syafeek yang seterusnya.
InsyaAllah bulan Ogos nanti saya akan ke luar negara untuk rakamkan dua buah lagu, satu dalam bahasa Inggeris dan satu lagi dalam bahasa asing. Di mana, lagu bahasa apa, kena tunggu.
Lagu-lagu ini hasil ciptaan salah seorang komposer terkenal di negara tersebut. Kami bertemu di sebuah pertandingan nyanyian yang saya sertai di Paris sebelum ini. Nanti saya cerita lanjut pasal projek ini.
Buat masa ini, saya harapkan pendengar boleh menerima dan suka lagu Penunggu. Saya berikan apa yang saya tahu dan ada untuk Penunggu.
Sekadar info, lagu ‘Penunggu’ boleh didengar di Youtube Channel Hotsound Record bermula 1 Julai ini, jam 8 malam dan semua platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify.