berita

Selepas Hampir Sebulan ‘Ditidurkan’, Ibu Syamel Meninggal Dunia

August 23rd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Ibu kepada penyanyi terkenal, Syamel iaitu Wan Faaizah Karim teleh menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10:09 malam tadi.

Ibu Syamel meninggal dunia

Berita duka itu dikongsikan Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly menerusi akaun Instagram miliknya. Dalam kesempatan itu, Syamel menitipkan doa supaya Allah SWT mengampunkan dosa-dosa Allahyarham ibunya dan berharap agar segala urusan Allahyarham dipermudahkan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Bismillahirrahmanirrahim. Ya Allah, ampunkanlah dosa umi ku, kau perlihatkan lah syurga buat umi, kau jadikanlah kuburnya seperti taman di taman-taman syurga, kau terimalah segala amal baiknya di dunia ini untuk dijadikan teman di alam sana, kau terangilah cahaya di dalam kuburnya sesungguhnya umiku pergi meninggalkan seribu satu ajaran padaku yang akan aku amalkan hingga akhir hayat. Aamiin ya rabbal alamin.

Hanya doa yang baik-baik saya harapkan daripada anda semua. Terima kasih.

Memetik laporan Berita Harian, Syamel mengakui sedih dengan pemergian ibu tercinta namun reda dengan takdir dan ketentuan yang telah tertulis. Jelas Syamel lagi, jenazah ibunya akan dikebumikan pada tengah hari ini.

Difahamkan, ibu Syamel telah menerima rawatan di hospital sejak sebulan lalu akibat kekurangan oksigen dalam badan dan terpaksa ditidurkan. Penyanyi terkenal ini juga pernah memaklumkan keadaan ibunya itu bukan akibat jangkitan wabak Covid-19. Ibunya juga tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital sepanjang hidupnya.

Sumber: Syamel, Berita Harian

SKIP THIS AD ×