Semalam, pihak polis menemukan seorang mangsa yang hanya tinggal tengkorak selepas dipercayai hampir 10 bulan terbabit dalam kemalangan. Kejadian yang berlaku di Kilometer 122.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh disedari selepas pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang sedang melakukan kerja pembersihan longkang.
Kemungkinan kemalangan 10 bulan lalu
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, polis menerima maklumat mengenai penemuan sebuah kereta dan satu tengkorak manusia di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya pada 1.10 tengah hari.
Siasatan awal mendapati kedudukan kereta berkenaan agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya, manakala tengkorak pula dijumpai berhampiran dengan kereta berkenaan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di bawah cerunan berkenaan.
Tambah beliau lagi, kemalangan dipercayai berlaku pada Mei atau awal Jun tahun lalu. Buat masa sekarang, pemilik kereta Hyundai Sonata itu sudah dikenal pasti dan sudah dihubungi pihak polis serta sedang menunggu waris untuk siasatan lanjut.
Kami sedang berusaha untuk mengenalpasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan. Kami sedang menyiasat mengenai satu laporan polis orang hilang dibuat pada Jun tahun lalu yang mungkin ada kaitan dengan kemalangan berkenaan.
Didakwa hilang
Sementara itu, di ruangan komen masing-masing mendakwa kemungkinan mangsa kemalangan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP) tahun lepas menyebabkan kereta yang melalui kawasan tersebut kurang. Tak kurang juga yang berkongsi pernah kemalangan lokasi yang sama dengan mangsa.
Memang tak nampak sangat, pernah beberapa tahun kawan kemalangan dan meninggal di kawasan situ. Sehari baru jumpa itupun dijumpai oleh pekerja penyelenggaraan yang tengah potong rumput. Mangsa seorang, memang kawasan curam susah sikit susah nak nampak.
Tengkorak manusia itu kini sudah dibawa ke Jabatan Patalogi Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, Ketua Polis juga turut sempat menasihati orang ramai agar memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga terdekat supaya mudah dihubungi atau dikesan jika berlaku perkara tidak diingini dan lebih berhati-hati semasa memandu.
Sumber : Harian Metro