Pernah mengalami keguguran, pelakon Hannah Delisha mengakui tidak membiarkan pengalaman peribadinya mempengaruhi emosi ketika menjayakan watak Nerina dalam drama Dia Perempuan Sialan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Meerqeen Perjelas Adegan Dukung Hannah Delisha Dalam ‘Dia Perempuan Sialan’ – ‘Dilakukan Atas Persetujuan’

Artikel Berkaitan: ‘Minggu Ke-12, Doktor Kata Jantung Bayi Sudah Terhenti’ – Hannah Delisha Imbas Momen Keguguran

Watak isteri keguguran

Hannah, 30, berkata watak berkenaan merupakan seorang isteri yang mengalami keguguran sebanyak empat kali. Namun, dia tahu bagaimana untuk membezakan kehidupan sebenar dengan watak yang dibawakan.

Karakter itu tidak memberi kesan kepada saya kerana itu hanyalah sebuah watak sahaja. Saya perlu membahagikan kehidupan peribadi dengan watak.

Namun, sedikit sebanyak membantu juga, kerana saya pernah mengalami (keguguran). Secara tidak langsung, emosi itu akan ada juga. Tetapi saya memastikan tidak terlalu mengganggu saya ketika di hadapan kamera.

Pada April 2024, Hannah berkongsi berita duka apabila mengalami keguguran anak pertama dan kandungannya yang berusia 12 minggu itu disahkan telah meninggal dunia di dalam kandungan.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Dia Perempuan Sialan yang berlangsung di ibu negara, pada Selasa.

Ditanya mengenai pengalaman sepanjang menjalani penggambaran drama bergenre seram supernatural dan thriller itu, Hannah mengakui berlaku beberapa kejadian aneh ketika berada di lokasi.

Rumah banglo yang kami gunakan untuk penggambaran memang agak seram, selama sembilan hari di sana. Saya pernah cerita sebelum ini, dua hari terakhir tiba-tiba ada bekas bentuk bunga di dahi saya.

Ada satu kejadian lagi, pintu bilik air di bilik utama akan terbuka dan tertutup sendiri. Kalau tutup, akan automatik terbuka. Padahal tiada angin pun.

Selain Hannah, Dia Perempuan Sialan turut menampilkan Meerqeen, Datin Seri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi serta bintang Indonesia, Caitlin Halderman.