Drama Perempuan Itu yang mencetus kontroversi baru-baru ini mungkin tidak akan ditayangkan di kaca televisyen sekiranya pihak produksi gagal memberikan laporan bertulis berkenaan insiden yang berlaku, kata Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Perlu beri laporan munasabah
Annuar berkata, kerajaan tidak akan membenarkan tayangan tersebut yang dijadualkan bersiaran pada bulan Ramadan dijalankan sekiranya laporan yang diberikan tidak munasabah. Menurutnya, semua stesen televisyen perlu menghormati bulan Ramadan malah tidak boleh menyiarkan kandungan yang kurang bersesuaian dengan bulan mulia itu.
Kita sudah meminta produksi berkenaan mengemukakan laporan bertulis berhubung perkara berkenaan. Mereka juga telah diberikan masa yang cukup untuk menyediakan laporan tersebut.
Sekiranya laporan itu tidak memuaskan, kita tidak benarkan stesen televisyen menyiarkan tayangan drama tersebut
Terdahulu, pelakon, Zul Ariffin dipercayai telah memuat naik klip beberapa ‘aksi’ panas daripada drama yang bakal ditayangkan itu dan telah mencetuskan kontroversi serta mendapat pelbagai respon yang kurang baik daripada orang ramai.
Sumber: Kosmo!