Kisah kematian seorang remaja lelaki yang dikenali dengan nama Conrad Roy telah menggemparkan dunia pada sekitar tahun 2014 yang lalu. Conrad yang menghidap masalah kemurungan telah ditemui mati ‘bunuh diri’ dalam sebuah kereta di kawasan parkir. Tetapi paling tidak disangka rupa-rupanya terdapat seseorang insan yang telah mendorong dan mendesak Conrad untuk membunuh diri hanya menggunakan mesej je. Psikonya!
Siapa Conrad Henry Roy III?
Conrad Henry Roy III merupakan seorang lelaki Amerika yang dilahirkan pada 12 September 1995. Conrad seorang pelajar yang sangat aktif dalam bidang sukan terutamanya sukan besbol dan larian trek. Selain bersukan, dia juga cemerlang dalam bidang akademik sehingga lulus dan meraih gred tertinggi di Sekolah Tinggi Old Rochester Regional (ORR) di Mattapoisett pada tahun 2014.
Malah, sepanjang persekolahannya, Conrad bekerja bersama ayah, datuk dan pak ciknya dalam perniagaan penyelamatan marin milik keluarga. Selepas menjalani 3 bulan ‘kelas malam’, pada usianya 18 tahun, Conrad akhirnya berjaya meraih lesen kapten dari Institut Maritim Timur Laut. Menurut sumber, hasil daripada keputusan cemerlang di sekolah menengah, Conrad telah ditawarkan masuk ke Universiti Fitchburg State tetapi dia telah menolak tawaran tersebut.
Meskipun memiliki kehidupan yang agak sempurna, Conrad sebenarnya sedang berjuang dengan masalah kemurungannya. Ketika usianya masih muda lagi, Conrad telah mengalami sosial anxiety di sekolah dan di dalam kelas. Masalah ini menjadi semakin serius ketika usia Conrad meningkat dewasa sehinggakan dia terpaksa berjumpa dengan beberapa kaunselor dan pakar terapi tetapi ianya langsung tidak memberi kesan kepadanya. Namun pada tahun 2014, Conrad mula membuat video dan menjadikannya seperti diari. Dalam video tersebut, Conrad menceritakan apa sebenarnya yang ada dalam fikirannya, kepayahan yang dilalui sepanjang hidupnya dan masalah sosial anxiety yang dialaminya itu.
Detik perkenalan Michelle Carter dan Conrad
Michelle Carter pula dilahirkan pada 11 Ogos 1996 iaitu muda setahun daripada Conrad Henry Roy III. Menurut laporan, kehidupan Michelle tidak kurang sedihnya dengan Conrad. Gadis ini berhadapan dengan kesukaran dan kemurungan sehingga pernah mencederakan diri sendiri. Dia juga telah mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor dan mengambil ubat sejak usianya 14 tahun lagi. Michelle dan Cornad mengenali antara satu sama lain ketika masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.
Perkenalan mereka berdua terdetik pada tahun 2012 iaitu ketika mereka melawat saudara di Florida. Ketika berbual, Conrad dan Michelle baru tahu sebenarnya mereka berdua tinggal di Massachusetts. Bermula dari situ, mereka berdua telah menukar nombor telefon, berhubung menerusi Facebook, emel dan sebagainya. Walaupun tinggal berdekatan, tetapi sepanjang perkenalan, mereka berdua hanya pernah berjumpa sebanyak 3 kali sahaja. Hal ini kerana, mereka lebih ke arah perhubungan secara atas talian dengan membalas-balas mesej dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, Michelle turut membantu Conrad dalam mengatasi masalah mentalnya itu. Sepanjang 2 tahun mengenali antara satu sama lain, dia juga sering menasihati teman lelakinya itu supaya tidak cuba membunuh diri. Malah, Michelle kerap memintanya berjumpa dengan profesional untuk membantu dalam permasalahannya itu. Dia turut menegaskan bahawa sekiranya Conrad enggan bertemu dengan mereka, dia sendiri akan mencari seseorang untuk membantu.
Hal ini kerana, Conrad sering kali memberitahu Michelle tentang hasratnya untuk membunuh diri. Lebih mengejutkan apabila Conrad juga ada membuat ‘kajian’ di internet mengenai cara-cara membunuh diri antaranya seperti menggunakan senjata, menggantungkan hos pada pokok dan sebagainya. Tetapi dia tidak sempat berbuat demikian kerana belum jumpa masa yang sesuai. Tidak cukup dengan itu, dia mengajak Michelle untuk melakukan perkara itu bersama-sama kononnya ingin seperti Romeo dan Juliet. Tetapi Michelle tidak bersetuju dan memberitahu bahawa dia tidak mahu mati lagi dan tidak mahu teman lelakinya itu mati juga.
Comrad ‘hilang’
Pada musim panas tahun 2014, keadaan Conrad semakin teruk tetapi dia cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan masalahnya dan ahli keluarga percaya bahawa dia berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Namun pada 12 Julai 2014, Conrad bersama ibu dan adik perempuannya berjalan-jalan ke pantai dan melakukan aktiviti bersama-sama. Tetapi Conrad dilihat sentiasa bermain telefon seperti sedang mesej dengan seseorang tetapi ibunya langsung tidak menegur kerana faham akan perangai zaman remaja.
Pada petang itu, Conrad memberitahu ibunya dia tidak dapat balik ke rumah untuk makan malam kerana dia ingin bertemu dengan kawannya. Tetapi siapa sangka, itu adalah kali terakhir mereka sekeluarga bertemu dengan Conrad. Pada waktu pagi keesokan harinya, Conrad masih tidak pulang ke rumah. Bagi mereka, ini sesuatu perkara yang agak aneh kerana sebelum ini Conrad tidak pernah berkelakuan seperti itu. Ibunya segera melaporkan kepada pihak polis dan mereka segera melakukan pencarian. Pihak polis akhirnya menemui kereta yang dipandu Comrad di kawasan parkir. Lebih mengejutkan apabila melihat Conrad yang sudah tidak bernyawa berada di dalam kereta terbabit.
Menurut sumber, Conrad dipercayai membunuh diri ketika usianya 18 tahun dengan menggunakan karbon monoksida. Selepas semuanya selesai, ahli keluarga telah memasuki bilik Conrad dengan harapan mendiang ada meninggalkan apa-apa nota. Seperti jangkaan, Conrad memang pernah menulis beberapa nota bunuh diri yang ditujukan kepada ahli keluarga dan meninggalkannya di dalam bilik tersebut. Tetapi mereka agak pelik dengan satu nama yang tidak dikenali mereka dan tertanya nota itu ditujukan kepada Michelle.
Dalam nota berkenaan, Comrad meluahkan rasa syukur kerana Michelle sentiasa ada dengannya dikala waktu sukarnya. Walaupun tidak mengenali Michelle, mereka berasa selesa untuk mengenali gadis itu kerana sikapnya yang disenangi oleh Conrad. Dalam masa yang sama, mereka bersyukur kerana gadis ini sangat ambil berat terhadap Conrad. Selepas kematian Conrad, Michelle mula menjalinkan hubungan rapat dengan keluarga teman lelakinya itu. Dia kerap berhubung menerusi emel dan menelefon mereka dengan memujuk mereka supaya tidak bersedih dan sebagainya.
Michelle mula tunjuk perangai pelik
Tetapi dari hari ke hari, Michelle kelihatan agak pelik. Dia meminta izin kepada keluarga Conrad untuk memasuki bilik tidur lelaki itu dan mengambil barangan milik mendiang untuk disimpan kononnya sebagai tanda kenang-kenangan. Jika diikutkan logik, Conrad dan Michelle tidak lah begitu rapat dan mereka hanya pernah berjumpa sebanyak 2 atau 3 kali sahaja. Bukan setakat itu sahaja, Michelle turut meminta abu mayat Conrad. Tanpa pengetahuan keluarga Conrad, Michelle telah menganjurkan pertandingan besbol amal sebagai penghormatan buat mendiang.
Di media sosial, Michelle mula menjadi seorang anti bunuh diri, dia memuatnaik beberapa status tentang kematian teman lelakinya itu dan ingin membantu menyelamatkan banyak nyawa di luar sana. Menurut sumber, pihak polis yakin bahawa kematian Conrad adalah disebabkan bunuh diri. Oleh hal demikian, seorang anggota polis terfikir untuk memeriksa telefon bimbit milik Conrad. Akhirnya semuanya terbongkar selepas mereka menemui perbualan teks antara Conrad dan Michelle. Lebih mengejutkan apabila mengetahui bahawa seorang teman wanita, Michelle yang sebelum ini kelihatan sangat ambil berat terhadap teman lelakinya sebenarnya merupakan punca kematian Conrad.
Mesej Michelle dan Conrad
Berdasarkan mesej yang dihantar sekitar 2 Julai iaitu 10 ke 11 hari sebelum kematian Conrad, Michelle seolah-olah mendorong dan mempengaruhi Conrad untuk membunuh diri dengan cara overdos pil. Menurut sumber, beberapa hari sebelum kematian, Conrad sudah cuba membunuh diri tetapi percubaannya itu gagal. Kegagalan tersebut telah membuatkan Michelle agak marah dan dia rasa dirinya diperbodohkan oleh Conrad.
Oleh itu, Michelle menggesa Conrad melakukan perbuatan terkutuk itu dengan segera sehingga sanggup memberitahu bagaimana cara dan di mana patut Conrad membunuh diri. Boleh dikatakan banyak mesej yang dihantar dengan menanyakan kepada Conrad bila dia akan membunuh diri. Jika Conrad bertukar fikiran dan memberitahu tidak mahu melakukannya, dia akan tetap memaksa Conrad.
Conrad risau keluarganya akan bersedih dan sebagainya tetapi Michelle tidak bersetuju sebaliknya dia lebih mendorong Conrad membunuh diri. Malah Michelle menentang segala alasan Conrad dengan memberitahu semua orang akan bersedih tetapi kesedihan itu hanya sementara dan lama-kelamaan mereka (ahli keluarga Conrad) akan terima. Conrad akhirnya mengikut sahaja perancangan Michelle. Michelle telah memberitahu Conrad secara terperinci mengenai cara membunuh diri menggunakn karbon monoksida dan dia juga yang mencadangkan kepada Conrad supaya membunuh diri di dalam kereta di kawasan parkir. Malah Michelle menyuruh Conrad berjanji untuk membunuh diri dan dia tidak boleh memungkirinya.
Apa sebenarnya terjadi?
3 jam sebelum kematian Conrad, Michelle ada memperingati Conrad untuk memadam kesemua perbualan mesej antara mereka berdua dan Conrad mengaku telah memadamnya. Selepas itu, mereka berdua tidak berhubung menerusi mesej sebaliknya menggunakan panggilan telefon sahaja. Menurut sumber, Michelle bercakap dengan Conrad menerusi panggilan selama beberapa jam ketika teman lelakinya itu cuba membunuh diri.
Walaupun mesej sudah memadam, pihak polis berjaya mendapatkan semula kesemua mesej tersebut. Pihak polis percaya, Conrad meninggal dunia sekitar jam 7:30 hingga 8 malam pada 13 Julai 2014. Dan pada jam 8 malam, Michelle ada menghantar mesej kepada rakannya dengan memberitahu Conrad ada menghubunginya dalam keadaan ‘sakit’. Tambah Michelle lagi, kononnya dia sudah memanggil nama Conrad tetapi tidak disahut dan dia percaya teman lelakinya itu sudah membunuh diri.
Sehinggalah pada suatu hari, Michelle mengetahui bahawa pihak polis sudah mendapatkan semula mesej yang telah dipadam daripada telefon bimbit Conrad. Walaupun begitu, Michelle terus menerus menghantar mesej kepada rakannya dengan menceritakan tentang kejadian tersebut. Michelle juga mengaku kepada rakannya itu bahawa dia adalah punca kematian Conrad. Hal ini kerana, dia sendiri yang menyuruh Conrad melakukan perbuatan terkutuk itu walaupun pada ketika itu Conrad sudah tidak mahu melakukannya kerana takut tetapi Michelle sekali lagi telah memarahi dan memaksa Conrad. Michelle memberitahu rakannya itu sekiranya keluarga Conrad membaca mesej tersebut, sudah pasti dia akan dibenci malah dia juga akan dimasukkan ke penjara.
Hukuman buat Michelle Carter
Namun tidak lama selepas polis membaca mesej yang dihantar oleh Michelle kepada rakannya itu, Michelle telah dihadapkan ke mahkamah. Berdasarkan keputusan perbicaraan kes di mahkamah pada 16 Jun 2017, Michelle Carter telah didapati bersalah atas kesalahan pembunuhan sukarela. Oleh yang demikian, Michelle telah dijatuhkan hukuman penjara selama 2 tahun setengah.
Namun, pada 2 Februari 2019 hukuman penjara Michelle telah dikurangkan kepada 15 bulan diikuti dengan hukuman percubaaan (probation) selama 5 tahun. Difahamkan, walaupun kejadian berlaku pada tahun 2014, Michelle tidak menghabiskan masanya di penjara kerana dia cuba membuat rayuan terhadap kesalahannya. Bagaimanapun pada 23 Januari 2020, Michelle dibebaskan awal dari tempoh sepatutnya atas alasan berkelakuan baik di dalam penjara.
Sumber: NewsNow, Elle, New York Post, CNN,Youtube